Strategi, Pendekatan Betul Untuk Dapatkan Mandat Lebih Besar PRU15

KUALA LUMPUR, 5 Mei – UMNO dan Muafakat Nasional berpeluang untuk mendapat lebih banyak kerusi dan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan pendekatan dan strategi yang betul, ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Katanya, kaedah dan pendekatan yang terbaik perlu dikenal pasti bagi memenangi hati rakyat.

“Strategi UMNO bermula dari bawah, kita melihat kerusi yang boleh menang untuk mendapatkan majoriti mudah, kemudian melihat balik kawasan yang biasa menang seperti Johor, yang hari ini kita lihat ada tempat itu seolah-olah tidak boleh menang.

“Rakyat Malaysia bijak dan matang, bermaklumat cuma bagaimana cara kita mendekati mereka dan mematahkan serangan lawan, itu adalah seni dalam berpolitik,” katanya lagi.



Razali berkata demikian di segmen Politik Alaf Baharu sempena Hari UMNO 74 Tahun dengan topik Perubahan Lanskap Politik Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Isnin malam.

Diskusi tersebut turut disertai Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan dan Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid selaku moderator.

Begitu juga katanya tugas ahli politik UMNO adalah untuk memperlihatkan kepada rakyat khususnya golongan menengah apa sumbangan UMNO dan kewujudan golongan profesional dalam parti yang sememangnya ada sejak dahulu lagi.

Ulasnya lagi, politik juga sangat unik dalam memberikan tempat dan ruang kepada yang berkelayakan dan berkebolehan.



“Tidak ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat yang memberi ruang kepada muka baru tanpa melalui proses latihan tetapi dalam politik boleh.

“Kalau popularitinya tinggi, seorang orator, popular di media sosial dia boleh dapat sokongan. Tetapi dalam syarikat, tidak ada syarikat yang akan mengizinkan perkara tersebut, kerana apa? Kerana menitik beratkan untung rugi perniagaan dan beri kepada yang telah melalui proses,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Razali juga berkata perubahan lanskap politik perlu diterima semua ahli.

“Kita tidak boleh lagi seperti dahulu seperti sebelum PRU-14, perlu ada dimensi baharu, gabungan baharu seperti kini dengan PAS, dan GPS di Sarawak.



“Sebagaimana dahulu tubuhnya Barisan Nasional selepas PRU, begitu juga Muafakat Nasional selepas PRU,” katanya.

Berhubungan dengan pengorbanan parti bersama menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Razali berkata ia bagi mengelakkan kekacauan politik yang ditimbulkan oleh Pakatan Harapan (PH), apatah lagi ketika negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.

“Usaha kita untuk menjayakan PN, kita perlukan sebuah kerajaan untuk mentadbir negara ini sehinggalah pembubaran diisytiharkan.

“Kita tidak izinkan apa jua bentuk kacau-bilau walaupun kita terpaksa berkorban, tidak hanya kejar kuasa semata-mata tanpa memikirkan masa depan negara, beralah dengan jumlah kerusi yang lebih besar tetapi tidak dapat menjadi parti dominan dalam PN pun kita tidak ada masalah,” jelasnya. – UMNO ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button