Agong, Permaisuri Agong zahirkan Selamat Hari Wesak
KUALA LUMPUR, 7 Mei — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.
Baginda berdua bertitah penularan wabak COVID-19 bukan sahaja membawa cabaran baharu kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kepercayaan, malah turut mewujudkan suasana baharu dalam kehidupan harian.
“Semoga hari yang bermakna kepada penganut agama Buddha ini disambut dengan kebiasaan baharu dan dengan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak COVID-19,” menurut baginda berdua dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.
— BERNAMA