Azian Osman dilantik Pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang baharu

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Bekas Pengerusi Syarikat Perumahan Negara (SPNB) Datuk Azian Osman dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hassan yang bersara pada 31 Mac 2020 lepas.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu adalah di atas persetujuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Suruhanjaya Tenaga mengalu-alukan kepimpinan Datuk Azian agar membawa agenda suruhanjaya ini ke tahap yang lebih tinggi. Ucapan ribuan terima kasih juga kepada mantan Pengerusi Datuk Ir. Ahmad Fauzi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dari 1 April 2018 hingga 31 Mac 2020.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau telah banyak sumbangan diberikan dengan pengalaman dan idea bernas yang sangat berguna dalam mencapai aspirasi, visi dan misi Suruhanjaya Tenaga,” menurut kenyataan itu.

Azian Osman berkelulusan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian (LLB.Hons), Universiti Malaya pada tahun 1985 telah memulakan kerjaya sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara pada 1986.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam amalan guaman dan juga pengurusan syarikat. Selain itu beliau juga adalah merupakan Ahli Lembaga Tatatertib dan Disiplin, Majlis Peguam Malaysia dari tahun 2002 hingga 2004 dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Pihak Berkuasa Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) selama empat tahun.

Azian pernah menjadi Pengerusi SPNB, Giatmara Malaysia dan juga Ahli Lembaga Amanah, Tekun Nasional selama empat tahun bermula pada tahun 2015 dan pernah memegang beberapa lagi jawatan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *