Terengganu Turtles intai ‘killer’ import baharu

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu Turtles memburu perejam import baharu bagi menghadapi saingan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) yang bakal bermula 15 Ogos ini dengan Kelantan menjadi tuan rumah pada pusingan pertama.

Jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani membayangkan keinginan untuk merantai pemain dari Thailand bagi mengisi posisi itu selepas skuadnya tergelincir ke Divisyen Satu musim ini.

Bekas perejam skuad emas kebangsaan itu menyatakan pemain import baharu itu bakal menggantikan pemain sebelum ini, Naringsak Jittisak dan Phutawan Sopa yang dilepaskan.

Namun, katanya, keputusan muktamad sama ada Terengganu Turtles bakal menggunakan khidmat pemain import baharu ataupun tenaga tempatan sepenuhnya bergantung kepada faktor kewangan pasukan.

Selain itu, Mohd Futra berkata beliau juga akan memantau secara serius status penganjuran STL sama ada saingan musim ini akan diteruskan ataupun diubah format berikutan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Kami barisan jurulatih sudah merancang untuk menggunakan khidmat pemain import baharu musim ini, tapi setakat ini belum ada kata putus daripada pihak pengurusan.

“Begitu juga mengenai pemain kebangsaan bertaraf Sukan SEA yang mahu sertai pasukan. Jika ada yang berminat saya persilakan kerana STL menetapkan cuma seorang sahaja pemain negara yang boleh beraksi dalam satu-satu pasukan.

“Namun pada masa sama prestasi pemain muda tidak jauh ketinggalan dengan pemain senior dan itu memberi keyakinan kepada saya untuk menggunakan khidmat mereka jika gagal mendapatkan pemain import berkualiti,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukannya dalam mengharungi cabaran dalam saingan itu nanti, guru Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) itu menegaskan anak buahnya semakin matang.

“Bagaimanapun disebabkan kami tidak dapat melakukan latihan bersama kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin rentak pemain perlu diperkemaskan lagi sebaik ia berakhir kerana impian kami untuk kembali semula ke saingan Liga Premier musim depan,” kata Mohd Futra.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker