Amy niaga atas talian
KUALA LUMPUR: Bintang rock, Amy Search, 62, mengakui kerjaya nyanyian terjejas berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, Amy berkata, dia bernasib baik apabila masih boleh menjana pendapatan sampingan menerusi perniagaan kurta dan kebaya yang diusahakan sejak empat tahun lalu.
Namun, Amy tidak menafikan penularan COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaannya, lebih lagi menjelang musim perayaan.
Katanya, dia lebih memberi tumpuan kepada jualan bazar di dua lokasi iaitu Publika dan Singapura. Ia menjadi lokasi wajib, setiap tahun. Bagaimanapun, kini, semuanya hanya bergantung kepada perniagaan atas talian.
“Saya lihat bukan sahaja anak seni terjejas, tetapi ia memberi kesan kepada semua bidang perniagaan dan pekerjaan lain. Kini, semua sektor beralih pada platform digital, begitu juga perniagaan.
“Sebelum ini, perniagaan saya bergantung kepada dua bazar yang disertai, setiap tahun. Perniagaan atas talian beroperasi serentak, tetapi ia kurang popular berbanding bazar.
“Sekarang, corak pembelian mula berubah disebabkan COVID-19 kerana orang ramai tak berani bersesak-sesak di tempat yang sempit bagi mengelak bersentuhan,” katanya kepada BH Online.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman berkata, tiada siapa dapat memastikan bila COVID-19 berakhir.
“Seperti dikatakan kerajaan, ia boleh mengambil masa hingga dua tahun atau lebih, selagi vaksin belum ditemui. Jadi nampaknya saya harus memberi tumpuan kepada perniagaan atas talian, buat masa ini.
“Jujurnya, sedikit sebanyak jualan pakaiannya sedikit merudum kerana hanya datang menerusi satu sumber. Namun, saya bersyukur sambutan yang diterima masih menggalakkan.
“Alhamdulillah, saya tetap berpuas hati pembelian menerusi talian walaupun tidak dapat bergantung kepada jualan bazar, tahun ini. Saya memang tidak menghasilkan pakaian dalam jumlah banyak sejak dahulu lagi,” katanya.
Pelakon filem Isabella dan Fenomena itu menasihatkan penggiat seni supaya menyesuaikan diri dengan norma baharu disebabkan banyak projek yang tergendala akibat virus COVID-19.
Bagi pelantun lagu Fantasia Bulan Madu itu, sudah tiba masa penyanyi dan syarikat rakaman memanfaatkan platform digital dalam memastikan industri muzik berkembang dan relevan.
“Platform media sosial dan saluran YouTube perlu dimanfaatkan sepenuhnya, bersesuaian dengan norma baharu ini. Kita lihat syarikat rakaman sudah mula menganjurkan konsert dari rumah sebagai langkah menuju ke arah digital.
“Ia sudah menjadi kebiasaan kepada industri muzik yang sentiasa mengalami transisi mengikut peredaran zaman. Bagi memastikan kerjaya seni terus bertahan, penyanyi perlu memanfaatkan platform media sosial dengan menghasilkan kandungan kreatif untuk kekal relevan,” kata penyanyi kelahiran Johor Bahru itu.