KENYATAAN MEDIA MENTERI PENGANGKUTAN 12 MEI 2020 PEMBUKAAN KAUNTER JPJ MELIBATKAN PENAMBAHAN TIGA URUSAN BERKUATKUASA 13 MEI 2020, KAUNTER BEROPERASI TUJUH HARI SEMINGGU

Agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka semula transaksi di kaunter secara berfasa selepas ditutup sejak 20 Mac 2020 lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19.

Mulai hari Rabu 13 Mei 2020, kaunter-kaunter JPJ di seluruh negara akan kembali memulakan transaksi melibatkan penambahan tiga (3) urusan seperti berikut :

i. Untuk cetakan Vehicle Ownership Certificate (VOC) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kali pertama bagi tukar hak milik dan pendaftaran baharu.

ii. Pengesahan biometrik pemunya baharu (pembeli) bagi urusan tukar hak milik secara sukarela (kenderaan persendirian).

iii. Permohonan Permit Memandu Antarabangsa (IDP).

Pembukaan kaunter JPJ ini juga selari dengan keputusan Kerajaan pada 28 April 2020 yang bersetuju untuk membuka semula sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bertujuan memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Manakala kaunter-kaunter di JPJ juga akan beroperasi selama tujuh (7) hari seminggu berkuatkuasa pada 15 Mei 2020 bagi negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala 16 Mei 2020 bagi lain-lain negeri. Operasi tujuh (7) hari seminggu ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian dikeluarkan. Walaubagaimanapun, ianya dikecualikan bagi hari cuti Am yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan.

Objektif pelaksanaan tujuh (7) hari seminggu ini adalah bertujuan untuk membolehkan urusniaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin selain daripada mengelakkan kesesakan pelanggan sedia ada.

Masa operasi bagi hari Sabtu dan Ahad / Jumaat adalah bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Manakala bagi kutipan hasil pula hanya transaksi secara epayment sahaja diterima.

Pihak JPJ negeri dan cawangan juga adalah dimohon untuk meneruskan pelaksanaan saringan orang awam kepada transaksi yang dibenarkan sahaja walaupun kiosk dibuka.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa berurusan di kaunter-kaunter JPJ seperti menjaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter, memakai topeng muka dan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer. Menjaga kebersihan dan mencegah penularan wabak COVID-19 adalah tanggungjawab bersama.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
12 MEI 2020

Leave a Reply