Polis Sarawak tubuh pasukan petugas pantau pematuhan SOP PKPB

KOTA SAMARAHAN, 12 Mei — Polis Sarawak menubuhkan pasukan petugas  bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sektor ekonomi semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata pada 10 Mei lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDNC) telah mengarahkan polis negeri untuk bertindak sebagai penyelaras bagi pasukan tersebut yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pasukan pemantau ini akan buat pemeriksaan di seluruh negeri Sarawak agar semua sektor yang diluluskan beroperasi seperti sektor perkilangan dan peruncitan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern kepada  ASP Rafhan Kepli yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

PKPB yang bermula hari ini akan menyaksikan pembukaan semula semua sektor ekonomi utama di seluruh negara dan menyaksikan pergerakan orang ramai keluar bekerja.

Aidi berkata orang ramai di Sarawak turut tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung bagi tujuan sambutan  perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak sepanjang tempoh PKPB ini berkuat kuasa.

“Pergerakan antara daerah ke daerah masih lagi dikawal dan masih memerlukan kebenaran pihak polis. Kebenaran hanya akan diberikan kepada mereka yang bekerja atau mereka yang mempunyai kes-kes kecemasan sahaja,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, polis Sarawak akan mengadakan 51 sekatan jalan raya di seluruh negeri khususnya di setiap sempadan daerah melibatkan lebih 3,000 pegawai dan anggota polis.

Menurutnya, jumlah keanggotaan itu akan dikekalkan sepanjang tempoh terbabit temasuk ketika sambutan kedua-dua perayaan tersebut.

“Selain anggota sedia ada, kami juga akan melibatkan agensi lain, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anggota RELA dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia dan mereka ini akan melakukan tugas mereka mengikut syif,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker