Seorang petugas barisan hadapan meninggal dunia
PUTRAJAYA, 12 Mei — Seorang anggota polis yang terlibat dalam pemantauan khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) meninggal dunia awal hari ini, selepas beberapa hari bertarung nyawa di Hospital Putrajaya akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Konstabel Muhammad Naim Ahmat Daud, 26, yang bertugas di Balai Polis Presint 7, terbabas dan hilang kawalan ketika menunggang motosikal di Jambatan Sri Saujana di sini, pada kira-kira 6.35 petang Jumaat lepas.
Menurut pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Putrajaya Inspektor Mohamad Khirul Anuwar Ahamad, mangsa disahkan meninggal dunia pada 12.05 tengah malam tadi.
Mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya setelah mengalami kecederaan di lutut, kepala dan tangan akibat kemalangan itu, katanya di sini hari ini.
Mohamad Khirul Anuwar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA