Dua beranak ditahan kerana dera pembantu rumah

LUMUT, 12 Mei — Polis Manjung berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki telah dikurung dan diberikan sisa makanan serta tidak dibayar gaji selama dua tahun, oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, mangsa berumur 44 tahun itu diselamatkan selepas menyerbu sebuah rumah kira-kira pukul 2.30 petang semalam di Sitiawan dekat sini, susulan maklumat orang awam yang membuat panggilan ke MERS 999.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita berumur 48 tahun bersama anak perempuannya yang berusia 25 tahun.

“Mangsa mendakwa telah dikurung di dalam rumah dengan dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji sejak dua tahun yang lalu tanpa mengira masa dan jika enggan, mangsa akan dipukul menggunakan sebatang besi.

“Mangsa juga mendakwa hanya diberi makan bekas sisa makanan yang tidak habis, selain tempat tidur yang tidak terurus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa datang ke Malaysia sejak 2018 melalui Pasir Gudang, Johor, yang diuruskan ejen pembantu rumah, sebelum dihantar ke rumah suspek untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Katanya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing adalah negatif.

“Mangsa kini diberi Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Seri Manjung selama 21 hari bermula hari ini, dan akan dihantar ke Rumah Perlindungan selepas selesai menjalani rawatan.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *