Jangan Hilang Jati Diri, Perjuangan UMNO Bukan Untuk Kepentingan Peribadi – Raime
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi merasa kecewa dan sedih melihat bekas pemimpin UMNO negeri itu yang sudah hilang jati diri kerana mengejar kepentingan peribadi apabila parti tidak lagi berkuasa.
Mereka itu ujarnya satu ketika dahulu begitu sanggup melaungkan parti keramat UMNO di depan orang ramai seperti di kampung–kampung, tetapi akhirnya menjadi orang pertama yang ‘cross over’ meninggalkan perjuangan UMNO.
“Pemimpin-pemimpin UMNO yang berkepentingan diri seperti itu berlandaskan pelbagai alasan kerana kepentingan rakyat cuba dikaburi oleh pemimpin tersebut yang hari ini telah melompat ke Warisan dan malah beliau tidak mempunyai jati diri.
“Mereka lahir daripada perjuangan UMNO, mereka dibentuk menjadi pemimpin disebabkan oleh UMNO pada satu ketika dahulu mereka ini juga memegang jawatan yang terpenting di dalam UMNO,” ujarnya.
Raime yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom berkata demikian di dalam segmen Wawancara Khas Sempena Hari UMNO Ke 74 Tahun bersama Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Moktar Radin dengan mengupas tajuk ‘Ke Mana Hala Tuju UMNO Sabah Di Zaman Perikatan Nasional’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Isnin malam.
Tambah Raime lagi, pegangannya cukup jelas untuk meneruskan perjuangan UMNO bersama-sama dengan rakyat agar UMNO terus memenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Hingga hari ini yang menjadi pegangan dan prinsip saya untuk bersama-sama dengan rakyat untuk meneruskan perjuangan UMNO di peringkat Sabah.
“Matlamat saya agar UMNO semakin relevan, tetapi…nampaknya semakin hari semakin dilihat UMNO telah mendapat tempat di hati rakyat dan telah kembali pulih untuk menghadapi PRU ke- 15 nanti, Insya Allah,” tegasnya.
Dalam pada itu, Raime juga berharap agar ahli UMNO berpegang dengan pesanan pemimpin-pemimpin terdahulu yang bersusah payah menubuh serta menegakkan parti.
Katanya, jika dihayati setiap pesanan, pasti jati diri ahli tidak akan goyah apabila parti dilanda dengan pelbagai masalah dan cabaran terutama ketika bukan berada di dalam puncak kuasa.
“Berpegangkan kepada pesanan-pesanan pemimpin-pemimpin lama dalam UMNO dan saya melihat ia amat penting bagi setiap ahli UMNO mesti mempunyai jati diri dalam UMNO itu sendiri. Inilah hakikatnya bila UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri sepatutnya menjadi kerajaan bukan sahaja parti rakan kongsi beralih kuasa berpindah ke tempat yang lain tapi di kalangan pemimpin UMNO itu sendiri yang tidak mempunyai jati diri tersebut.
“Kita mempunyai jati diri kepada perjuangan UMNO dan jangan satu hari nanti disogokkan dengan wang ringgit serta jawatan maka… kita sudah lalai dan lari daripada perjuangan.
“Perjuangan kami bukanlah semata-mata untuk kepentingan peribadi tetapi perjuangan kami apa yang kami laksanakan hari ini adalah semata-mata untuk memperkukuhkan supaya perjuangan UMNO dalam konteks Sabah hari ini dapat dilihat oleh rakyat dengan secara ikhlas dan boleh dipercayai,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan