Polis tahan lima pemegang kad UNHCR

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hari ini, selepas disyaki terbabit jenayah pecah rumah sekitar Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata dua daripada suspek berusia 26 dan 40 tahun itu ditangkap ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Seraya, Ampang Jaya, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

“Pengadu memaklumkan kepada polis, ada kelibat dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan memanjat tiang untuk cuba pecah masuk sebuah rumah kawasan itu.

“Polis yang tiba di tempat kejadian memanjat bumbung rumah berkenaan seterusnya melihat mereka sedang bersembunyi di tepi tangki air.



“Suspek cuba bertindak agresif, namun tangkapan berjaya dilakukan. Turut dirampas, dua pemutar skru dan satu pemotong wayar disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, penahanan dua suspek itu membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki warga asing berusia 21, 38 dan 41 tahun.

“Daripada tiga orang itu, seorang daripadanya ada rekod jenayah pecah rumah. Kita rampas dua pemutar skru dan satu pemotong wayar untuk membantu siasatan kes jenayah sama.

“Dengan penangkapan semua suspek, polis yakin dapat menyelesaikan lima kes kejadian pecah rumah di daerah Ampang Jaya,” katanya.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button