Sindiket dadah tumpas, dadah RM12 juta dirampas

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4wEzDe3sITQ[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR: Satu sindiket penghasilan dan pengedaran pil yaba dan ekstasi didalangi lima sekeluarga tumpas dalam sembilan serbuan berasingan di Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Johor bermula Sabtu lalu sehingga semalam.

Turut ditahan adalah dalang utama serta 13 ahli sindiket terbabit terdiri daripada sembilan warga tempatan termasuk tiga wanita dan empat lelaki warga Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata kejayaan menumpaskan sindiket itu bermula dengan tangkapan tiga suspek termasuk dua wanita dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, Sabtu lalu.



“Menerusi tangkapan itu, kita berjaya merampas sebanyak 312,098 biji pil yaba seberat 34.2 kilogram yang dibawa suspek.

“Susulan tangkapan itu, membawa kepada serbuan kedua di Jenjarom, Selangor dan menahan lima lagi suspek terdiri daripada seorang lelaki Thailand serta empat warga tempatan termasuk seorang wanita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, dalam serbuan ketiga di Batu Caves, Selangor polis menahan empat suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki Thailand dan merampas 21.7 gram syabu.

“Serbuan seterusnya di Jeli, Kelantan kita berjaya merampas 98 pil yaba dan pada Ahad lalu, kita jalankan dua serbuan di Petaling Jaya, Selangor dan Klang, Selangor.



“Dalam serbuan di Petaling Jaya, kita tahan seorang lelaki tempatan dan merampas 719 gram syabu manakala dalam serbuan di Klang, kita tahan seorang lelaki tempatan bersama 27,455 biji pil eskstasi.

“Kita turut menemui sepucuk pistol jenis Colt Automatic bersama satu kelopak peluru berisi sembilan peluru 9 milimeter dalam serbuan itu,” kata Ramli.

Katanya, suspek ke-16 ditahan dalam serbuan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kelmarin.

“Dua tangkapan terakhir dilakukan dalam serbuan di Muar, Johor petang semalam dan membawa kepada serbuan ke atas sebuah makmal dadah di sebuah rumah di situ pada jam 10 malam.



“Kita menemui 40.45 gram serbuk ekstasi, 24.4 kilogram serbuk ephederin serta pelbagai peralatan untuk memasak dadah antaranya ketuhar, mesin pembancuh dan mesin pengadun di situ,” kata beliau.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket ini aktif antara enam hingga 10 bulan lalu dan makmal berkenaan digunakan untuk menghasilkan dadah dengan fokus pasaran dalam negara serta negara jiran.

“Kesemua dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai lebih RM12 juta, manakala jumlah keseluruhan barangan yang disita termasuk wang tunai, barang kemas dan enam kenderaan berjumlah RM458,335.

“Semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan 10 daripadanya turut didapati positif dadah.



“Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 67 tahun kini direman tujuh hari sehingga 17 Mei ini,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.

Kejayaan menumpaskan sindiket itu adalah susulan kerjasama antara JSJN Bukit Aman serta JSJN Kelantan, Pahang dan Selangor.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din menunjukkan gambar makmal dadah yang diserbu pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din menunjukkan gambar makmal dadah yang diserbu pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button