Fattah, Fazura hadiah lagu raya
KUALA LUMPUR : Pasangan popular, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin mengembalikan nostalgia apabila merakamkan semula lagu Hari Raya klasik dendangan Hail Amir dan Uji Rashid berjudul Seloka Hari Raya.
Mengulas pemilihan lagu itu, Fattah mengakui keistimewaan dan aura yang ada dalam karya berkenaan membuatkan dia dan Fazura berminat merakamkannya semula mengikut cara tersendiri.
“Semua orang tahu lagu ini ada tarikan tersendiri dan diminati ramai. Justeru, apabila Universal Music Malaysia memberi idea untuk merakamkan lagu ini, kami terus setuju.
“Saya sangat suka dengan versi baharu lagu ini yang ada unsur remix hasil gubahan komposer dan teman saya, Mel Ramlan dan Mohariz Yaakup,” katanya kepada BH Online.
Bagi Fazura, usaha merakamkan semula lagu ikonik itu adalah suatu penghargaan mereka kepada pencipta dan penyanyi asal dendangan terbabit.
“Sebelum ini, ada cadangan yang mahukan kami merakamkan lagu baharu. Tetapi, apabila ada usul seperti ini, kami terima sahaja tawaran kerana secara tidak langsung, kita meraikan lagu lama yang kita tahu ada ramai peminat,” ujarnya.
Bercerita mengenai pengalaman merakamkan single berkenaan, penyanyi lagu Sayangi Dirimu ini berkata, dia dan Fattah melakukannya berasingan.
“Lagu ini dirakamkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kami rakam di studio tetapi berasingan. Fattah ketika itu sibuk dengan penggambaran drama.
“Saya harap peminat suka lagu ini kerana ia adalah hadiah buat mereka yang menantikan lagu duet Hari Raya daripada kami,” kata pelakon Dendam Pontianak ini.
Lebih menarik, video muzik lagu ini bakal menyaksikan wajah pasangan ini diabadikan dalam bentuk animasi.
“Pelaksanaan PKP membuatkan penggambaran muzik video ini terpaksa dibatalkan.
“Bagaimanapun, saya dan isteri tampil dengan idea muncul dalam format animasi,” kata Fattah.
Untuk menjadikan video muzik itu unik, Fazura mendedahkan ada empat watak yang ditonjolkan dalam klip yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.
“Konsep dan jalan cerita muzik video ini adalah cetusan idea kami. Empat watak yang masih dirahsiakan identiti bakal ditonjolkan. Kalau hendak tahu siapa, kenalah tonton muzik video ini kelak,” katanya.
Berikutan negara masih dalam pematuhan PKP yang dilanjutkan kepada PKB Bersyarat (PKPB), promosi lagu Seloka Hari Raya dibuat menerusi media sosial dan virtual. Ini termasuk sesi ramah mesra atas talian.
Lagu Seloka Hari Raya versi Fattah dan Fazura boleh didapati di semua pelantar digital mulai hari ini. Video muzik akan dilancarkan di Youtube Universal Music Malaysia, esok.