Lelaki ditahan disyaki cuba seludup keluar bawang merah RM112,000 Oleh Melvin Joni [email protected]

BAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki tempatan disyaki cuba menyeludup 320 guni bawang merah dianggarkan bernilai RM112,000 ke Indonesia, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintendan Rosdi Inai, berkata suspek berusia 31 tahun ditahan ketika menggunakan laluan gajah di Kampung Stass, di sini, dalam operasi Op Benteng COVID-19 yang dijalankan di kawasan sempadan.

Beliau berkata, operasi kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan enam anggota Batalion 11 PGA dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh.

“Dalam operasi itu, sebuah lori yang melalui jalan gajah berkenaan telah ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati ia membawa muatan sebanyak 320 guni bawang merah disyaki akan diseludup atau dibawa keluar ke negara jiran, Indonesia.



“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung barang kawalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Rosdi berkata, pemandu lori terbabit ditahan dan bawang merah berkenaan dirampas sebelum diserahkan kepada IPD Bau untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button