‘Maafkan aku semua…’

KUALA LUMPUR: Bekas artis serba boleh, Bob Lokman, 56, memohon maaf kepada semua kenalan industri seni jika dia ada melakukan kesilapan sepanjang aktif dahulu.

Bob yang mencipta nama sebagai pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik berkata, permohonan maaf itu dibuat berikutan dia tidak lagi aktif selain tidak pasti bila dapat bertemu semua kenalan.

“Saya tidak lagi aktif dalam industri seni dan sudah pulang ke Kelantan. Jadi, tidak tahu bila lagi boleh berjumpa kawan-kawan.



“Saya sudah tua, sudah 56 tahun, duduk rumah tolong isteri berniaga nasi Arab dan menjaga anak-anak.

“Jadi, sekiranya dapat sampaikan salam dan permohonan maaf saya kepada semua, saya sangat bersyukur,” katanya kepada BH Online.

Bob berkongsi luahan hatinya itu ketika BH Online cuba mendapatkan perkembangan terkini kesihatannya.

Bob bersyukur sudah beransur pulih, walaupun pergerakannya masih terhad.



“Alhamdulillah, saya sudah boleh bangun dan duduk. Bengkak pada kaki sudah surut, cuma saya tidak boleh terlalu lama berdiri. Ini kerana saya terlalu lama terbaring, iaitu lebih kurang sebulan.

“Apabila berdiri, saya kena berpaut. Jadi. saya pakai tongkat. Selain itu, jantung saya masih lemah.

“Doktor kata saya hanya boleh menggunakan jantung sebanyak 15 peratus. Jadi, tidak boleh terlalu aktif kerana oksigen kurang.

“Disebabkan itu, ketika tidur, saya perlu menggunakan dua mesin iaitu oksigen dan bantuan pernafasan. Kalau tiada bantuan dua mesin ini, saya tidak boleh tidur,” katanya.



Bagaimanapun, Bob dapat menunaikan ibadat puasa dengan sempurna. Cuma, buat masa ini, dia perlu duduk ketika solat.

Sebelum ini, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dimasukkan ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sungai Buloh akibat masalah air berlebihan dalam badan.

Bob juga mengalami alahan ubat pada kaki sehingga bengkak.

Penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama ini juga pernah berulang-alik ke hospital akibat sakit jantung.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button