Cheng Hoe dijangka kekal barisan pemain untuk kelayakan Piala Dunia 2022
KUALA LUMPUR, 15 Mei — Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan awal beliau akan mengekalkan sebahagian besar pemain bagi menghadapi baki beberapa perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini.
Jurulatih kelahiran Kedah itu berkata beliau juga akan memantau perkembangan pemain lain yang mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk dipanggil menyertai sesi latihan pusat bagi menghadapi pusingan kelayakan tersebut.
“Berikutan sudah lama mereka tidak dikumpulkan dengan kali terakhir pada November tahun lepas, saya harap mereka semua masih ada persefahaman yang baik antara satu sama lain.
“Perkara itu juga menjadi sebab kenapa saya rancang kekalkan ramai pemain utama demi memudahkan perancangan, namun saya masih melihat mana-mana pemain lain yang beraksi dengan baik bagi membolehkan saya menilai prestasi semasa mereka,” kata Cheng Hoe dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan beberapa baki perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penularan wabak COVID-19.
Berdasarkan perancangan terbaharu AFC, sekiranya mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Okt di Dubai, dan Vietnam pada 13 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik COVID-19, perlu diteruskan bagi memastikan pemain yang akan dipanggil ke sesi latihan pusat nanti dapat mengekalkan kecergasan fizikal dan mental.
Beliau menegaskan kecergasan fizikal serta motivasi pemain yang akan dipanggil bakal terjejas sekiranya saingan Liga-M dibatalkan.
“Jika liga dapat bermula pada September ini, pemain sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk mereka bersedia sepanjang tempoh beberapa bulan ini daripada sekadar melakukan latihan sendirian di rumah.
“Pemain juga dapat mencari kembali sentuhan mereka dalam soal fizikal dan kecergasan bersama pasukan masing-masing sebelum sertai pasukan kebangsaan,” jelas Cheng Hoe.
— BERNAMA