Guru berkorban bersih kutu di kepala murid sebagai tanda sayang

TAPAH, 16 Mei — Membersihkan kutu kepala dan mendandan rambut anak murid bukanlah tugas hakiki seorang pendidik, namun seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Gedong, Bidor, di sini sanggup melakukannya sebagai tanda kasih serta prihatin.

Muhammad Aisham Azahar, 29, guru Bahasa Inggeris tahun lima di sekolah dalam penempatan Orang Asli yang mempunyai 83 pelajar berkata, beliau sanggup membersihkan kutu kepala kerana ‘geram’ apabila mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran kerana kegatalan.

Anak jati Perak yang telah enam tahun berkhidmat di sekolah itu berkata, kebanyakan yang mempunyai masalah kutu adalah murid perempuan tahun satu dan kerja-kerja membersihkan parasit itu dibuat dengan bantuan pelajar tahun lima dan enam.

“Murid tahun satu ini masih kecil, selalu mengadu gatal dan jadi bahan ejekan rakan, sebab itu saya bersihkan kerana mahu mereka tidak terganggu semasa dalam kelas.

“Ada sedikit rasa geli pada kutu, tetapi bukan pada pelajar ini kerana saya sayangkan mereka dan menganggap seperti darah daging sendiri. Reaksi daripada ibu bapa juga positif,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Kegigihan Muhammad Aisham atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Aisham membersihkan kutu kepala pelajar pernah tular dalam media sosial awal tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Aisham berkata, beliau mula membersihkan kutu sejak awal tahun ini dengan membeli sikat khas dan melakukan ‘tugas sampingannya’ selepas pelajar selesai makan pada waktu rehat.

Lebih menarik, anak kedua daripada lima beradik itu turut mempelajari cara mendandan rambut pelajar selepas membersihkan kutu agar mereka tampil lebih kemas dan rapi walaupun mengakui agak kekok pada mulanya.

“Cuma telah lama tidak buat (mendandan) disebabkan cuti persekolahan penggal pertama pada 14 Mac kemudian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan wabak COVID-19, tidak pasti saya masih ingat lagi atau tidak,” katanya berseloroh.

Sempena Hari Guru hari ini, graduan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang itu berkata walaupun tiada sambutan seperti kelaziman susulan pelaksanaan PKPB, namun ia bukan ukuran untuk pendidik terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pewaris negara.

Muhammad Aisham menyifatkan penempatannya di SK Pos Gedong selepas tamat pengajian sebagai pengalaman tidak ternilai bukan sahaja kerana berpeluang menyelami kehidupan masyarakat Orang Asli dari suku Semai, tetapi pelbagai peristiwa yang mungkin tidak diperoleh di tempat lain.

“Jarak sekolah dengan pekan Bidor kira-kira 20 kilometer, keadaan jalan pula rosak dan berlubang. Kadangkala saya menunggang motosikal, kadangkala memandu. Bila kenderaan tiba-tiba rosak saya akan tersadai atas jalan berjam-jam kerana masalah talian di kawasan laluan sehingga sukar untuk meminta bantuan,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker