Petugas kesihatan peribadi jaga Zaleha di rumah

JOHOR BAHRU: Keadaan penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65, yang uzur dan terlantar akibat serangan angin ahmar mendapat perhatian pusat penjagaan kesihatan di rumah, JB Care Centre.

Kedatangan petugas kesihatan peribadi bagi membantu memudahkan urusan suami Zaleha, Ungku Sulaiman Ungku Aziz menguruskan penyanyi lagu Dangdut Raggae itu sejak ditimpa sakit pada pertengahan Disember lalu.

Ungku Sulaiman berkata, semua tugas digalasnya bersama anak bongsu sejak Zaleha diserang angin ahmar kira-kira lima bulan lalu.

“Zaleha orangnya pembersih. Dari sihat dahulu, dia sangat menjaga kebersihan, mandi pun tiga kali sehari.



“Apabila jatuh sakit, saya yang angkat dan mengusungnya masuk ke bilik air. Mandi hanya waktu pagi, manakala petang pula saya hanya lapkan badan.

“Alhamdulillah, bantuan JB Care Centre ini membantu dalam menguruskan Zaleha. Sebelum ini, saya pula terpaksa berhenti kerja kerana menguruskan isteri yang sakit,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Skudai, hari ini.

Menyentuh keadaan kesihatan Zaleha, Ungku Sulaiman memberitahu, isterinya akan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi membuat imbasan mengenalpasti kedudukan tiroid pada 20 Mei ini.

Katanya, kebiasaannya tiroid berada sekitar tekak, tetapi kes Zaleha pula tiroid tak dapat dikesan di kawasan berkenaan.



“Keadaan Zaleha seperti inilah, ada masa tenang, ada ketika tidak selesa dan selalu termenung,” katanya yang menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan termasuk susu khas dan lampin dewasa dihulurkan Team Jariah Banafe yang diketuai pelakon, Betty Banafe.

Sementara itu, Pengurus JB Care Centre, Shekeen Rahim berkata, pihaknya menyediakan kouta bagi membantu mereka yang memerlukan dari sudut penjagaan kesihatan di rumah.

Katanya, mengenai Zaleha, dia mendapat makluman kesukaran keluarga keluarganya menerusi Betty.

“Kami masih ada kuota untuk mereka yang tidak mampu menjaga kesihatan orang sakit. Sebelum memberi khidmat percuma, kami akan melihat tahap keperluan mereka terlebih dahulu.



“Bagi kes Zaleha, khidmat kami termasuk persediaan kendiri pesakit, mandi, cuci luka, tukar tiub makanan, tiub kencing dan penghantaran ke hospital bagi temu janji dengan doktor seperti yang ditetapkan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button