Saya diberitahu Thomas bersetuju secara prinsip terhadap DNAA Riza Aziz” – AG

Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun berkata beliau dinasihat bahawa bekas AG Tan Sri  Tommy Thomas telah bersetuju kepada cadangan yang secara prinsipnya bagi penyelesaian terhadap pertuduhan pengubahan wang haram Riza Shahriz Abdul Aziz.

Idrus dalam kenyataan media hari ini berkata, keputusan bagi pendakwa memohon kepada Mahkamah Sesyen pada 14 Mei bagi pihak Riza diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan juga dibuat selepas perbincangan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan peguam Riza.

“Saya telah dinasihati bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, selepas meneliti surat representasi, melalui satu minit bertarikh 19 Nov, 2019 telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi itu.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi itu diterima oleh SPRM. Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan itu. Ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” katanya.



Beliau berkata, pada 11 Mac, 2020, pihak Peguam Cara telah menghantar satu lagi surat representasi mengukuhkan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini dan memberi aku janji bahawa, jika Riza Aziz gagal untuk mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya dikekalkan.

AG berkata, perkara ini telah dibentangkan kepadanya setelah beliau dimaklumkan mengenai pendirian terdahulu Tan Sri Thomas.

 “Setelah ditaklimatkan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan bekas Peguam Negara sebagaimana yang telah ditaklimatkan kepada saya, dan telah bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat,” katanya.

Beliau berkata, sejak pemfailan pertuduhan, Riza Aziz telah mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan ini melalui Peguam Cara beliau, Tetuan Scivetti & Associates.



“Saya difahamkan bahawa kronologi surat perhubungan antara Jabatan Peguam Negara/SPRM dan Peguam Cara Riza Aziz, sebelum pelantikan saya sebagai Peguam Negara, adalah seperti berikut,” katanya.

Pada 18 Nov, 2019, Peguam Cara telah menghantar satu surat representasi ke Jabatan ini memohon agar semua pertuduhan terhadap Riza Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikaji semula.

Beliau berkata, surat representasi ini, antara lain, telah mencadangkan agar Riza Aziz menyerahkan haknya ke atas tiga (3) hartanah yang telah disita oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan Riza Aziz perlu memberi kerjasama untuk mengembalikan harta tersebut atau nilainya kepada Kerajaan Malaysia.

Idrus berkata, hartanah itu adalah seperti berikut: i.a. Satu (1) unit banglo di Beverly Hills, California; b. Satu (1) unit pangsapuri di New York; dan c. Satu (1) unit rumah bandar di London, United Kingdom; ii. Bersetuju agar wang yang dirampas daripadanya yang menjadi hal perkara dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia; dan iii. Membayar sejumlah kompaun selaras dengan peruntukan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Idrus selanjutnya berkata, pada 16 April, 2020, SPRM telah membalas surat Peguam Cara yang secara asasnya menyatakan bahawa Pendakwa Raya bersedia untuk memohon satu perintah pelepasan tanpa 4 pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan tertakluk kepada Riza Aziz mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua wang dan harta-harta yang disita dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia dan seterusnya membayar kompaun selaras dengan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Pembiayaan Keganasan 2001.

Beliau berkata, pada 21 April 2020, pihak SPRM telah menulis kepada pihak Peguam Cara mengarahkan agar Riza Aziz turut melepaskan hak, hak milik, dan kepentingannya ke atas satu lagi aset yang dikenali sebagai “Metropolis Poster” yang merupakan sebuah poster 3-helai berwarna litograf berbingkai ciptaan seorang pelukis dari Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm untuk filem senyap bertajuk “Metropolis” yang telah diterbitkan pada tahun 1927.

Beliau berkata, pada 13 Mei 2020, pihak SPRM sekali lagi telah menulis kepada pihak Peguam Cara mengarahkan Riza Aziz untuk turut memindahkan sejumlah USD14,087,072.76 yang berada di dalam satu akaun escrow di Huntington National Bank di Amerika Syarikat kepada Kerajaan Malaysia.

“Dengan perkiraan ini, Kerajaan Malaysia dijangka akan menerima kembali sejumlah kira-kira USD108 juta (tertakluk kepada harga jualan sebenar aset-aset dan penolakan apa-apa kos) untuk dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

Ini adalah tambahan kepada USD57,036,688.68 yang telah dilucuthak sebelum ini dalam bulan April 2019 daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang 5 dimiliki bersama oleh Riza Aziz, yang mana dana tersebut dapat dikesan berkaitan dengan 1MDB,”katanya.

Idrus berkata, perkiraan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan dalam mendapatkan kembali aset-aset berkaitan dengan 1MDB.

“Saya telah dimaklumkan bahawa rundingan dengan beberapa pihak dalam tahun-tahun lepas, terutama berkaitan dengan aset yang berada di luar negara, telah dengan jayanya mendapatkan kembali serta pemulangan wang-wang yang akan meringankan beban Kerajaan dalam membayar hutang-hutang 1MDB.

“Rundingan itu adalah amat rumit, memerlukan kerjasama erat dengan pihak berkuasa di luar negara, dan masih berterusan,” kata AG.

AG membuat penjelasan itu selepas satu siri kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM dan Thomas terhadap perkara itu.

Sri Ram, ketika dihubungi Bernama untuk mengulas perkara berkenaan berkata: “Apabila AG membuat kenyataan itulah kesudahan perkara berkenaan”.

SPRM dalam kenyataannya pada 14 Mei antara lain menyatakan bahawa “persetujuan antara pendakwaan dan tertuduh menerusi representasi di mahkamah adalah satu keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas AG, Tan Sri Tommy Thomas”.

Thomas, yang telah memberikan maklum balas segera terhadap kenyataan SPRM itu, berkata beliau tidak bertanggungjawab dalam isu Riza yang diberi DNAA dan mengeluarkan kenyataan semalam untuk mengulangi pendiriannya berhubung perkara itu.

Susulan daripada reaksi awal beliau (Thomas), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa SPRM berdiri teguh dengan kenyataannya berhubung perkara itu (bahawa Thomas bersetuju agar Riza diberi DNAA).

Thomas, dalam kenyataannya semalam, sekali lagi menafikan bahawa beliau membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Riza tetapi menjelaskan bahawa satu-satunya keputusan yang dibuatnya dalam kes itu selain mendakwa Riza ialah melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

Thomas  berkata, surat bertarikh 18 Nov, 2019, peguam yang mewakili Riza telah menyerahkan satu representasi memohon semakan terhadap pertuduhan jenayah yang dikemukakan terhadap anak guam mereka.

“Representasi bertulis diterima oleh AGC setiap hari daripada peguam tertuduh yang berdepan perbicaraan dan rayuan bagi kes jenayah. Oleh itu, tiada apa yang pelik tentang representasi daripada peguam Riza. Sama ada saya secara peribadi bertindak menyetujui permintaan mereka untuk mendapatkan pembebasan adalah isu berbeza. Saya tidak berbuat demikian. Ia adalah sesuatu yang jelas dan mudah.

“Surat ini telah diserahkan kepada Gopal Sri Ram untuk diteliti dan mencadangkan satu respons kepada saya,” katanya.

Thomas juga berkata pada 28 Feb, beliau telah meletak jawatan sebagai Peguam Negara dan sehingga tarikh itu, beliau tidak menerima sebarang nasihat daripada Sri Ram.

“Justeru itu, saya tidak membuat keputusan mengenai representasi Riza sebelum peletakan jawatan saya,” kata beliau.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker