BERANIKAH MUKHRIZ UMUM KELUAR PARTI SELEPAS DAKWA ARAHAN JATUHKANNYA DARI MUHYIDDIN?

Beranikah Mukhriz Jadi ‘Anak Jantan’ Selepas Dakwa Muhyiddin Jatuhkannya

Krisis politik Pakatan Harapan telah selesai sebaik Mukhriz mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Besar semalam. Beliau yang hilang sokongan dan kepercayaan mengumumkan perletakan jawatan tersebut dalam satu sidang media.

Arahan Muhyiddin

Dalam sidang tersebut mengejutkan sekali apabila Mukhriz secara jelas menyebut arahan menjatuhkannya datang dari Presiden Parti BERSATU Malaysia (PPBM) melalui Hamzah Zainuddin. Mukhriz turut menyebut nama Dato Sri Najib Razak sebagai dalang kejatuhannya dari jawatan Menteri Besar Kedah yang beliau sandang sejak Mei 2018. Sebelum ini, Mukhriz juga pernah meletakkan jawatan sama pada 2016 apabila hilang kepercayaan dan sokongan dari Adun Adun Kedah.

Wajar Keluar Parti

Jika diperhatikan krisis PPBM ini telah menyebabkan masalah besar dalam parti tersebut yang berbelah bahagi sokongan. Kewujudan 2 kem – Kem Muhyiddin (Presiden) dan Kem Tun M (Pengerusi) ketika berdepan dengan pemilihan parti memeningkan penyokong mereka sendiri. Amat jelas Mukhriz sudah hilang kepercayaan dari pucuk pimpinan parti selaku Timbalan Presiden PPBM apabila beliau sendiri mendakwa Muhyiddin mengarahkan gerakan menjatuhkannya. Sebagai ‘Orang Lama’ dalam politik, sewajarnya Mukhriz melihat ini sebagai isyarat untuk beliau mencari ‘Pintu Keluar’ dari parti dan melupakan cita-citanya bertanding jawatan Presiden PPBM namun adakah beliau punyai keberanian berbuat demikian? Apakah Mukhriz akan terus kekal dalam PPBM setelah tahu beliau ‘tidak dialu-alukan’ lagi dalam parti?

Baca – KECAMAN PENYOKONG PPBM

Punca Krisis Berlanjutan

Imbas kembali krisis yang melanda Pakatan Harapan turut sama membawa kepada krisis dalaman PPBM selepas pengumuman perletakan jawatan Tun M sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM. Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden telah menarik keluar sokongan PPBM terhadap PH sekaligus menyebabkan PH kehilangan majoriti ditambah lagi dengan keluarnya Azmin Ali bersama 9 ahli parlimen PKR telah menumbangkan kerajaan PH. Sebagaimana diketahui rakaman audio mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah tersebar luas di rangkaian media sosial dan jelas sekali krisis teruk berlaku dalam PH ketika itu. Sehingga ada satu suara (tidak diketahui) dalam rakaman tersebut menyatakan Bersatu akan memilih haluan sendiri (keluar PH) jika krisis dalaman tidak selesai. Tindakan Muhyiddin ketika membawa keluar PPBM dari gabungan PH adalah tindakan seorang Presiden bagi melindungi kepentingan parti. Bagaimanapun Mukhriz selaku Timbalan Presiden pada ketika itu sudah menampakkan penentangannya apabila berkeras terus kekal kerjasama dengan blok PH di Kedah. Bagaimana mahu mengurus tadbir sebuah parti jika ada 2 nakhoda dalam sebuah kapal? Sebagai Presiden, Muhyiddin perlu bertindak segera agar haluan kapal tidak menentang arus dan arahan hanya datang dari seorang nakhoda sahaja supaya anak kapal tidak keliru dengan arahan sebenar.

Pecat Keahlian Jalan Terakhir?

Krisis yang melanda PPBM kini semakin memuncak. Sudah pasti selepas ini bakal berlaku pemberontakan penyokong Kem Tun Mahathir kerana merasakan tindakan menjatuhkan Mukhriz sangat tidak demokratik dan hanya mempromosi sikap ‘kuku besi’ dalam PPBM. Kem TsMY juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sabotaj dalaman dari penyokong Mukhriz yang tidak berpuashati dengan arahan Muhyiddin seperti didakwa Mukhriz. Mungkin mereka (Kem Tun) mempersoalkan kesahihan kewujudan PPBM sebagai sebuah parti politik memandangkan tiada sebarang mesyuarat agung dilangsungkan sepanjang penubuhan sejak 8 September 2016. Hanya pada 2020 mesyuarat pemilihan dilakukan bagi mengesahkan kedudukan jawatan dalam parti namun ditangguhkan kerana pandemik covid19. Ada kemungkinankah bagi Kem Muhyiddin untuk menyelamatkan kedudukan TsMY dalam parti dan sebagai Perdana Menteri, satu jalan yang boleh dilakukan bagi menyekat kerosakan dalaman adalah mencadangkan pemecatan keahlian mereka yang tidak lagi menyokong kerjasama politik dalam Perikatan Nasional?

Hala Tuju Tun M Dan Mukhriz

Menyorot keseluruhan krisis yang melanda PPBM sejak bersama PH hingga keluar dari PH, amat mustahil Tun M akan kembali sebagai Perdana Menteri buat kali ke-3. Tindakan Pakatan Harapan menamakan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang meninggalkan persoalan besar dimanakah kedudukan Tun M kelak? Tun M mendakwa beliau masih Pengerusi PPBM namun tindakannya tidak menyebelahi Muhyiddin membuatkan ramai tertanya apa akan jadi kelak? Di tambah perletakan jawatan Mukhriz dan mendakwa Muhyiddin mengarahkannya, sudah pasti ini menimbulkan masalah hala tuju politik mereka dalam parti. Adakah Tun dan Mukhriz akan bergandingan dengan PH dalam parlimen dan luar parlimen bagi melawan kerajaan sediada dibawah Muhyiddin? Kemana akan mereka bawa penyokong setia mereka dalam arus politik semasa? Keluar parti untuk tubuhkan parti baru dan bernaung semula dengan Pakatan Harapan membentuk kerjasama baru atau akan ucapkan selamat tinggal kepada dunia politik tanahair?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker