COVID-19: 22 pek plasma sedia untuk digunakan

PUTRAJAYA, 17 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 22 pek plasma yang didermakan oleh sembilan bekas pesakit COVID-19 bagi tujuan penyelidikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada sembilan pesakit berkenaan, tiga daripada mereka telah menderma dua kali plasma tersebut yang akan digunakan hanya bila diperlukan.

“Setakat ini kami belum menggunakannya … 22 pek plasma tersedia di tempat kami, sekiranya terdapat keperluan, kami akan menggunakan plasma tersebut. Cumanya, bila perlu menggunakannya… terutama kepada pesakit dengan tindak balas imun yang lemah.

“Plasma berkenaan daripada pesakit yang dijangkiti sebelum ini dan mereka mempunyai tindak balas antibodi yang tinggi. Jadi itulah sebabnya mengapa kita boleh menggunakan plasma ini jika ada indikasi,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian telah dimaklumkan bahawa terdapat 10 lagi bekas pesakit yang bersedia tampil untuk menderma plasma mereka.

“Bagaimanapun kami akan menyaring mereka sebelum mengambil plasma mereka dan kemudian akan menggunakan plasma itu untuk merawat pesakit lain. Setakat ini sambutan baik,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan ubat antiviral Remdesivir, beliau berkata ia digunakan bagi merawat pesakit kategori 4 dan 5 malah setakat ini penggunaannya tidak mempunyai masalah.

“Kita telah mulakan dengan pesakit yang pertama di Hospital Sungai Buloh…tempoh guna ubat tersebut lebih dua minggu, tapi apa yang pasti ini satu kaedah untuk rawatan tapi kita juga beri ubat-ubat lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata KKM telah menyaring 950 individu yang meliputi ahli Parlimen dan warga kerja yang akan menghadiri dan bertugas semasa persidangan sehari Parlimen esok.

“Daripada 960 individu yang dijangka terlibat dengan sidang Parlimen esok, 950 telah disaring dan kesemuanya menunjukkan keputusan negatif.

“Lagi 10 (individu) tidak disaring ialah lapan warga kerja Parlimen yang tidak hadir untuk saringan dan dua ahli Parlimen yang sedang dikuarantin kerana ada kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada orang awam digalakkan untuk memakai pelindung muka berikutan ada laporan menyatakan virus COVID-19 boleh masuk ke tubuh melalui mata, beliau berkata apa yang penting adalah menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

“Virus akan masuk dalam tubuh kalau sentiasa gosok mata, ataupun jangkitan dari tangan dan sentuh muka dan sebagainya…kalau di khalayak ramai dan tempat awam kena sentiasa pakai penutup hidung dan mulut dan cuci tangan sebelum sentuh mata dan muka,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker