Tak serik jual makanan pada kaki ponteng puasa

ALOR SETAR: Pernah ditahan kerana menjual makanan kepada kaki ponteng puasa tahun lalu, seorang lelaki tidak serik apabila mengulangi perbuatan sama sebelum dicekup pihak berkuasa di Langgar di sini, hari ini.

Lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan berniaga makanan secara bersembunyi dalam but keretanya di tepi sawah.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) jam 10.30 pagi ini, berikutan aduan awam diterima.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata lelaki itu dikatakan menjual makanan di kawasan sunyi di tepi bendang, pada awal pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam but belakang kereta itu, pihaknya menemui pelbagai jenis lauk dengan harga berlainan.

Katanya, lelaki itu pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama tahun lalu kerana menjual makanan di dalam kereta dan tidak serik melakukan sama hari ini.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang lelaki dipercayai pelanggan sedang membeli makanan namun tidak ditahan, sebaliknya keterangan diambil dan kita akan panggil sebagai saksi.

“Kita percaya lelaki itu sudah lama berniaga di kawasan itu dengan menjadikan kaki ponteng puasa sebagai sasaran untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Radzi berkata, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker