UA harus tingkat mutu penyampaian, kandungan pengajaran bagi penuhi keperluan industri

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Universiti Awam (UA) disaran meningkatkan kaedah penyampaian serta isi kandungan pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri semasa.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata kaedah penyampaian kepada pelajar perlu lebih inovatif dan tidak hanya bersifat satu hala sahaja.

“Isi kandungan pengajaran perlu disesuaikan dengan keperluan industri dan masyarakat. Dua benda ini kalau digabung, maka akan lahir graduan yang berbeza dan ia akan menjadi pilihan industri,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, hari ini.



Mohd Hamdi tidak menafikan isu pengangguran dalam kalangan graduan UA mungkin sebahagiannya berpunca dari program pengajian yang tidak mempunyai nilai komersial pada majikan.

Namun jelasnya, ada sesetengah program pengajian perlu diteruskan bagi keperluan bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Mohd Hamdi turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UKM sempena sambutan Jubli Emas ke-50 semalam.

“Sempena 50 tahun ini, saya ucapkan tahniah dan harapan saya supaya seluruh alumni lebih 200,000 mendukung (universiti) keramat ini.



“Untuk kakitangan dan pelajar marilah kita bersungguh-sungguh untuk menjadikan UKM sebagai universiti kelas dunia pada 2025 dan saya yakin UKM berada di landasan yang betul (untuk mencapai kedudukan itu)”.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button