Harimau Malaya mungkin beraksi di tempat lain

 

Oleh Razak Hasan

Harimau Malaya mungkin beraksi di tempat lain
Firdaus (tiga dari kiri) menghadiri sidang media majlis pelancaran bola rasmi Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional dan Piala Tun Sharifah Rodziah 2024 di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi

Skuad Harimau Malaya mungkin beraksi di venue luar Lembah Klang pada aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Taiwan, pada Jun depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed berkata, persatuan mempunyai beberapa pelan alternatif andai Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan susulan penganjuran konsert pada Mei depan.



Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM mengakui pihaknya akan meneliti terlebih dahulu keadaan SNBJ sebelum memutuskan gelanggang sebenar bagi aksi menentang Taiwan itu nanti.

“Kita akan pantau keadaan padang SNBJ, sebab saya juga difahamkan ada satu konsert lagi akan diadakan di sana. Itu pun memberi kita satu tekanan juga sama ada kita nak menggunakan atau tidak SNBJ.

“Namun, kita akan buat lawatan dan tengok keadaan padang dahulu. Pihak FAM tiada kompromi, kalau padang boleh guna kita akan guna kerana keutamaan kita adalah pemain dan tidak mahu mereka mengalami kecederaan,” katanya.

Firdaus ditemui ketika menghadiri sidang media majlis pelancaran bola rasmi Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional dan Piala Tun Sharifah Rodziah 2024 di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.



Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya pernah bermain di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu pada aksi antarabangsa tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button