Filem TyIcKooUnS tayang atas platform talian

KUALA LUMPUR: Filem TyIcKooUnS arahan Izan Hailmey Mokhtar menjadi karya pertama yang disiarkan menerusi platform talian, ewayang.com, Jumaat ini.

Kebanyakan penerbit filem terpaksa mencari idea di luar kotak fikiran untuk menayangkan filem mereka berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Penerbitnya, Noor Ismahanum Mohd Ismail bersyukur akhirnya filem TyIcKooUnS terbitan Worldwide Far East Bhd yang dihasilkan pada 2012 menemui penonton bermula 22 Mei ini.

“Banyak cabaran dan dugaan ditempuh dalam perniagaan sepanjang menyiapkan filem ini. Syukur, filem ini akhirnya menemui penonton.



“Saya menghasilkan filem kerana minat mendalam terhadap konsep filem berteraskan rumpun dan kehidupan sejagat. Saya mengetengahkan karya Khairunazwan Rodzy yang juga seorang penggiat teater tanah air,” katanya kepada BH Online.

TyIcKooUnS adalah gabungan perkataan ‘Tycoon’ dan ‘Tikus’. Tycoon adalah simbolik kehidupan manusia. Tikus pula sentiasa mencari ruang meragut dan merampas hasil orang lain.

Filem berkenaan menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia. Ia dibintangi Datuk Aaron Aziz, Remy Ishak, Bront Palarae dan Anzalna Nasir, manakala pelakon Indonesia pula Derry Darajat, Temon Templer, Jaim Al Rashid serta Anggun.

Noor Ismahanum berkata, filem yang menelan belanja hampir RM2 juta itu dipilih disiarkan melalui platform talian memandangkan wabak COVID-19 masih belum pulih.



“Saya lihat kebanyakan penonton yang menempuh perintah berkurung di rumah lebih suka menonton filem atau drama secara talian. Kami ingin menyahut seruan kerajaan meneruskan normal baharu ini.

“Ia mengikut keperluan dan fungsi syarikat produksi untuk lebih kreatif bagi menjamin ekonomi sekali gus memberi ruang kepada penonton untuk menonton filem baharu walaupun dalam virus COVID-19 belum berakhir.

“Saya berhasrat memajukan platform talian dengan memberi peluang kepada pembikin filem berkongsi ruang menayangkan filem atas talian ewayang.com,” katanya yang mengakui mempunyai tenaga mahir dalam bidang pemasaran dan promosi.

Filem TyIcKooUnS boleh dilanggan dengan harga RM15. Istimewanya, penerbit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000 untuk penonton bertuah.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker