Tempoh sebulan jalani kuarantin terlalu lama – FDAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) minta kerajaan mempertimbangkan semula arahan yang mewajibkan pekerja seni menjalani kuarantin selama sebulan, sebelum dibenarkan memulakan penggambaran pada akhir Jun ini.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, tempoh yang ditetapkan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan terlalu lama, sedangkan mengikut prosedur biasa, tempoh kuarantin yang perlu dijalani selama dua minggu.

Katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sepatutnya membawa wakil persatuan atau penggiat seni dalam pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana mereka lebih arif selok-belok industri hiburan.

“Tempoh kuarantin selama sebulan terlalu lama. Penggiat seni khususnya pekerja di balik tabir sudah tidak mampu menunggu lebih lama lagi. Mereka sudah lebih dua bulan hilang punca pendapatan. Kena fikir juga mereka ada anak, isteri dan keluarga yang perlu ditanggung.

“Apa yang menjadi persoalan, kenapa pekerja seni dikehendaki menjalani kuarantin selama sebulan, sedangkan mengikut prosedur biasa bukankah kuarantin hanya dua minggu? Lagipun, di mana mereka mahu menjalani tempoh kuarantin?

“Pekerja seni sudah lebih dua bulan tidak bekerja, mana ada duit menyewa rumah lain semata-mata menjalani tempoh kuarantin. Lainlah sekiranya KKMM menyediakan tempat menjalani prosedur berkenaan.

“Sepatutnya, perlu ada perbincangan dengan persatuan sebelum SOP dikeluarkan. Persatuan pula hanya diminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang kemudiannya menyerahkan SOP berkenaan kepada KKMM. KKMM pula membentangkan kepada MKN tanpa kehadiran wakil persatuan.

“Jadi tentulah ada banyak kepincangan kerana mereka tidak berada dalam industri seni,” kata Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London kepada BH Online.

Selain itu, katanya, penggiat seni juga tidak bersetuju apabila hanya 20 orang dibenarkan berada di setiap lokasi penggambaran.

“Sekiranya kerajaan tetap dengan keputusan ini, bermakna 200 kru akan kehilangan pekerjaan dan hak mereka seperti dinafikan.

“Sedangkan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebanyak 40 produksi sedang menjalani penggambaran. Ini bermakna kebanyakannya sudah menerima sebahagian bayaran.

“Jika penerbit terpaksa mengurangkan lima kru kerana mematuhi SOP, bagaimana dengan nasib kru yang digugurkan? Mereka sudah menandatangani kontrak dengan penerbit, jadi berilah kelonggaran supaya boleh terus berkerja.

Lagipun, tiada beza antara 20 hingga 25 kru,” katanya.

Ahmad Ibrahim berkata, dia percaya syarikat produksi dan pekerja seni tidak akan melanggar SOP yang ditetapkan kerana tiada siapa yang mahu mengancam keselamatan serta nyawa sendiri.

“Cuma, kami berharap jangan dinafikan hak kru balik tabir, mereka baru nampak sinar selepas lebih dua bulan tidak bekerja. Jadi, kerajaan perlu mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

Katanya, dia juga turut memohon stesen televisyen mempertimbangkan bayaran kepada penerbit.

“Kini, penerbit kini terpaksa mengeluarkan bajet lain untuk membeli topeng muka, sarung tangan, alatan santiasi dan pembunuh kuman. Ia secara tidak langsung menyebabkan penerbit mengeluarkan modal lebih.

“Bagi tujuan berkenaan, peruntukan RM1,000 perlu dikeluarkan untuk setiap penggambaran. Saya menggesa stesen televisyen mempertimbangkan permintaan penerbit dalam tempoh COVID-19 ini sahaja.

“Kos yang perlu dikeluarkan semakin meningkat. Apabila dihitung, selepas menolak semua kos penggambaran dan bayaran artis, berapa sangat penerbit peroleh keuntungan. Apatah lagi, penerbit terpaksa mengupah seorang pengawal keselamatan memantau pergerakan pelakon dan kru bagi memastikan penjarakan sosial, jadi di situ, satu lagi kos bertambah,” katanya.

Beliau berkata, bukan itu sahaja, penerbit perlu menyediakan khemah tambahan bagi mengelak pelakon dan kru berkumpul dalam keadaan rapat.

“Van membawa pelakon dan kru juga perlu ditambah. Jika sebelum ini, satu van boleh memuatkan 12 orang, tetapi penerbit perlu menyediakan dua lagi van untuk mengelak bersesak dalam van.

“FDAM mewakili persatuan lain berharap KKMM dapat mempertimbangkan kembali SOP untuk pekerja seni. Kami juga mohon stesen televisyen dapat mempertimbangkan bayaran kepada penerbit,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker