Aidilfiri Di Norma Baharu, Mantapkan Perjuangan Demi Agama, Bangsa, Tanah Air – Zahid
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan Salam Adilfitri dengan mengajak masyarakat berada dalam norma baharu di samping mengundang kesetiaan anggota UMNO untuk bersama meneruskan perjuangan suci parti.
Katanya, tahun ini kita menjalani ibadah berpuasa tidak sekadar menahan lapar serta dahaga, mengerjakan solat terawih dan witir, kita turut diuji oleh cabaran menghadapi wabak COVID-19.
“Ada yang masih berjuang memerangi wabak berbahaya ini dan ada juga yang telah tewas dan kembali kepangkuan Ilahi. Kepada pejuang barisan hadapan saya mendoakan agar anda terus tabah menangani wabak ini. Bagi yang terkorban saya memanjatkan doa agar diampunkan segala dosa-dosa dan diterima setiap amalan mereka.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan syukur dan keperihatinan yang mendalam atas kesabaran kita semua menghadapi ujian maha hebat ini.
“Sesungguhnya, wabak Covid19 ini, tidak sekadar menyerang rakyat dan negara kita…malah seluruh dunia turut terkesan yang mengakibatkan kesihatan dan ekonomi warga dunia terjejas,” katanya dalam ucapan sempena Aidilfitri.
Katanya, kelaziman kita menyambut hadirnya fajar syawal dengan berkumpul bersama keluarga, pulang berhari raya di kampung, saling kunjung mengunjung antara satu sama lain dan kini tiada lagi kesempatan sebegitu.
“Ia turut mengakibatkan kita terpaksa mengubah norma kehidupan masa lalu kepada norma baharu…. tidak hanya halacara kehidupan…malah ia turut meliputi aspek budaya.
“Namun, saya yakin ia tidak menghakis hati serta sanubari kita untuk saling bermaaf-maafan sempena kehadiran hari raya.”
Kita juga katanya, tentunya bersama bertekad untuk menjadikan ikatan persaudaraan dan persahabatan semakin erat dan akrab.
“Sempena hadirnya hari raya Aidilfitri ini bersamalah kita kukuhkan tekad dalam memartabatkan agama, bangsa, dan tanahair.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri dari saya dan famili untuk seluruh ahli keluarga besar UMNO, Muafakat Nasional dan umat Islam di mana saja mereka berada. Moga Allah beri kesempatan untuk kita bertemu Ramadan tahun mendatang,” katanya lagi. – UMNO Online