CPRC Tetap Beroperasi Seperti Biasa Pada Hari Raya Dalam Tangani COVID-19 – Dr Adham

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba

PUTRAJAYA, 23 Mei – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tetap beroperasi seperti biasa esok dalam menangani penularan wabak terutama COVID-19, yang ketika ini dihadapi negara meskipun sambutan Hari Raya Aidilfitri esok, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Begitulah pengorbanan mereka dan “frontliners” lain di fasiliti-fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM),” kata beliau dalam perkongsiannya di Facebook di sini hari ini.

Beliau berkata taklimat terkini mengenai COVID-19 tetap berjalan seperti biasa di pejabatnya awal pagi tadi.

Taklimat itu disertai Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon, Pengarah Kawalan Penyakit Dr Norhayati Binti Rusli, dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Datuk Dr Norhizan Ismail.

Dr Adham seterusnya menyeru rakyat mematuhi undang-undang, arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa terutama di musim perayaan ini.

“Kita mesti menang dalam perjuangan ini. Bersama kita teruskan perjuangan ini agar rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan!,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: