Lelaki ditahan, cederakan teman lelaki bekas isteri

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki ditahan, cederakan teman lelaki bekas isteri
Sebatang besi seperti cangkul dirampas daripada suspek.

Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencederakan teman lelaki bekas isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam berlaku di hadapan rumah suspek, 29 tahun di sebuah taman perumahan.



“Mangsa berusia 25 tahun menemani teman wanitanya iaitu bekas isteri suspek ke lokasi untuk menghantar barang keperluan anak-anaknya yang dijaga oleh kakak suspek.

“Suspek kemudiannya dilihat keluar dari rumah itu dalam keadaan marah sebaik bekas isterinya memberikan barang berkenaan kepada kakak suspek. Mangsa tidak masuk campur urusan tersebut sebaliknya hanya mendiamkan diri dalam kereta,” katanya pada Jumaat.

Ujarnya, bagaimanapun suspek tiba-tiba datang dan menumbuk kepala mangsa sebaik dia membuka separuh cermin bahagian pemandu sebelum berlaku pergelutan.

“Selepas ditenangkan, suspek bertindak masuk ke dalam rumah dan keluar semula membawa sebatang besi seperti cangkul sebelum mangsa dan teman wanitanya itu menyelamatkan diri lalu membuat laporan polis.



“Mangsa mengalami kecederaan bengkak bahagian belakang kepala berhampiran telinga kanan. Pemeriksaan awal Pegawai Perubatan Hospital Rembau mendapati, pengadu mengalami “Soft Tissue Injuries”.

“Suspek telah ditahan dan direman selama empat hari dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button