Umat Islam wajib keluar mengundi – Hadi Awang

Oleh – Syeikh Baran


Umat Islam wajib keluar mengundi - Hadi Awang
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana di Bandar Utama Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan mengambil bahagian dalam politik serta memilih pemimpin adalah wajib dalam Islam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika menegur sikap segelintir umat Islam yang dilihat masih meremehkan kewajipan mengundi, termasuk tidak mengambil endah mengenai golongan yang menerajui pentadbiran.



Ahli Parlimen Marang itu berkata, umat Islam perlu mengelakkan perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri kerana ia hanya merugikan, selain mengakibatkan kehilangan kuasa politik.

Tegasnya, kegagalan melaksanakan tanggungjawab berkenaan antara lain akan memberi kuasa politik kepada parti yang memenangi sesuatu pilihan raya.

“Jangan buat mudah (berfikir) kalau tak keluar mengundi tidak apa… jangan. Mengundi bermakna memberi kuasa politik pada siapa yang menang pilihan raya.

“Kalau kita tidak keluar mengundi, calon yang ‘merosakkan’ akan menang, akhirnya terimalah akibatnya, bahaya dan kemungkarannya di masa akan datang.



“Sebab itu saya menyeru supaya penduduk Kuala Kubu Baharu ini mengambil contoh yang berlaku di Kemaman, Terengganu, Perlis, Kelantan termasuk Melaka dan Perak (untuk) membuat perubahan (pada PRK).

“Tiada guna orang Islam berpecah, bukan kita mahu berperang, (tetapi) kuatkan kekuatan Islam, kita orang Islam jangan berlaga (bergaduh), jangan jadi lesung dan alu bertumbuk, yang kenyang ayam. Kita lawan sesama sendiri, kuasa politik jadi hak orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya ketika berucap pada Ceramah Perdana PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama, Batang Kali di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.



PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini, dilapor memaklumkan seramai 760 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK DUN Kuala Kubu Bharu, manakala 18 pusat mengundi biasa, membabitkan 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal (tiga tempat mengundi atau saluran awal) akan digunakan.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya akan digunakan untuk PRK DUN Kuala Kubu Bharu adalah daftar pemilih terkini hingga Daftar Pemilih Tambahan Februari 2024 yang dikemas kini sehingga 25 Mac lalu.



Ia membabitkan 40,226 orang pemilih, masing-masing 39,362 pengundi biasa, manakala tentera dan pasangan (238), polis (625) dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button