Beberapa menteri, pemimpin ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Beberapa menteri kabinet dan barisan pemimpin, hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam video di laman sosialnya, menyeru umat Islam supaya sabar menerima ketetapan sambutan Aidilfitri dalam normal baharu dengan hati yang terbuka.

“Biarpun Syawal kali ini jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini ekoran penularan COVID-19, namun setidak-tidaknya kita masih boleh menikmati dan berkesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, dalam suasana aman dan selamat.

“Saya faham ramai yang bersedih kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa, namun saya harap kita dapat bersabar menerima ketetapan ini dengan hati terbuka.



“Tetapi pada masa yang sama tidak bermakna kita tidak boleh eratkan ukhwah dan silaturrahim sesama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, tetapi menggunakan pendekatan normal baharu dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah di rumah, dan membuat panggilan video bersama ahli keluarga dan sahabat di rumah,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pula, mengingatkan rakyat supaya elakkan pembaziran makanan dan mulakan budaya pengurusan sampah dan sisa makanan yang lebih mampan, selain menyesuaikan diri dengan normal baharu semasa dan pasca COVID-19.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 29 April, terdapat peningkatan sebanyak 33.4 peratus  atau 447.88 tan sisa kitar semula yang dikutip melalui kempen pengasingan sisa pepejal di punca (SAS).

“Terdapat penurunan sebanyak 12.75 peratus sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan semasa PKP dikuatkuasakan berbanding sebelum PKP, dan amalan ini perlu diteruskan dan diharap membantu ke arah pemuliharaan alam sekitar dan kebersihan setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang dimuat naik dalam catatan di laman Facebook dan Twitter beliau.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441H. Minal ‘Aidin wal-Faizin. Maaf Zahir dan Batin. Jangan lupa untuk mengamalkan normal baharu. Terapkan amalan penjagaan diri dan teruskan jarakan sosial. Bersama-sama hentikan penularan wabak COVID-19,” tulis Saifuddin yang turut memuat naik gambar beliau sekeluarga.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dalam video ucapan Hari Raya Aidilfitri, turut menasihati rakyat supaya patuh terhadap PKPB ketika pandemik COVID-19, sepanjang musim perayaan ini.

“Aidilfitri pada tahun ini tidak seperti biasa dapat ke sana sini melawat kawan-kawan dan ahli keluarga, namun beraya di rumah sudah memadai memandangkan keadaan penyakit ini (COVID-19), yang merebak di seluruh Malaysia.



“Kita sedar bahawa PKP adalah penting kita turuti kerana kalau tidak penyakit ini (COVID-19) akan merebak kepada lebih ramai… sebab itu walaupun kita kecewa raya tahun ini tidak macam dahulu, namun insya-Allah kalau dapat kurangkan penyakit ini sehingga berhenti, tahun depan kita mungkin dapat beraya seperti biasa,” katanya.

Ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta isteri yang juga Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam perutusan bersama Aidilfitri, turut memberi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi dan membendung wabak COVID-19 di seluruh dunia.

“Dari para perawat hingga kepada pelayan-pelayan restoran, kedai-kedai runcit dan segala bidang lain yang terpenting, kami sangat terhutang budi pada kalian kerana terus merangkul masyarakat dalam mendepani kemelut ini,” menurut perutusan itu.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button