Mengamuk di Pekan Bukit Sentosa, lelaki direman lima hari

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Seorang ahli perniagaan yang dipercayai mengamuk dengan melanggar lima orang awam dengan keretanya di perkarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa di sini,  direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmad berkata, perintah reman ke atas lelaki berusia 32 tahun itu, berkuatkuasa sehingga Rabu depan, dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967. Selain itu, teman wanita suspek warga Myanmar berusia 23 tahun turut ditahan dan direman selama 14 hari sehingga 6 Jun depan, kerana tidak memiliki dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin ketika dihubungi berkata, seramai lima orang telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung insiden itu.

Hari ini, media melaporkan lelaki tersebut mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi keretanya, semasa dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak, berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa semalam.

Terdahulu, tular di laman sosial yang memaparkan video berdurasi seminit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat, menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam, di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa.

Ekoran kejadian itu, lima orang awam dikenal pasti mengalami kecederaan, iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button