Mira rindu atuk, opah di Perak

© Provided by Berita Harian Mira dan ibu akur tidak dapat pulang ke Ipoh, Perak menyambut Aidilfitri berikutan larangan rentas negeri sepanjang tempoh PKPB. Foto IG Mira Filzah

KUALA LUMPUR: Seingat pelakon dan pengacara jelita ini, sejak kecil, ketibaan 1 Syawal pasti disambut di Ipoh, Perak.
Tidak pernah terlintas dalam hati Mira Filzah, Aidilfitri kali ini diraikan di kediaman keluarga di Bangi, Selangor, gara-gara larangan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selama ini, memori raya Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 hanyalah di Ipoh, tempat di mana dia dan adik perempuannya, menghabiskan detik terindah beraya bersama atuk dan opah.
Pengacara program bual bicara wanita terbitan TV3, Nona ini akur sambutan Aidilfitri kali ini, cukup berbeza.
“Biar pahit untuk ditelan, saya akur buat julung kalinya, beraya di ibu kota demi kebaikan bersama. Mujur saya ada ibu bapa dan adik bersama.
“Saban tahun kami beraya dengan atuk dan opah di Ipoh, namun, kali ini tidak dapat bersama.
“Biar apa pun, saya bersyukur mereka berdua sihat walafiat di kampung,” katanya kepada BH Online.
Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, berkata, selain keluarga terdekat, rumahnya mungkin menerima kunjungan saudara-mara yang mahu meraikan Aidilfitri bersama.
“Namun, dalam keadaan PKPB, semuanya bergantung kepada situasi semasa dan perubahan pada saat-saat akhir,” katanya.
Mengenai persiapan raya, artis paling laris tahun lalu ini selesa bersikap sederhana.
“Saya ada beberapa helai baju raya daripada Ariani RTW. Ini tahun keempat saya menjadi duta jenama itu. Jadi, soal baju raya saya tak pening kepala.
“Abah pula tidak cerewet malah tak kisah mengulang pakai baju lama.
Emak dan adik perempuan saya pula mencari baju sedondon jenama sama untuk dipakai di pagi raya,” katanya.
Berjauhan dengan kakak yang bermastautin di New York, Amerika Syarikat (AS), pelakon filem Sangkar ini menggunakan aplikasi FaceTime untuk berhubung termasuk bertanya khabar abang ipar dan anak buah tersayang, Umar.
“Hampir setiap hari saya akan FaceTime dengan Umar. Lucunya dia cakap sudah bosan kerana perlu dikuarantin di rumah.
“Umar hendak balik Malaysia kerana terlalu rindukan saya dan ahli keluarga lain. Saya terusik dengan apa yang diluahkannya.
“Usianya pun makin menginjak dan semakin bijak. Ada saja gelagatnya yang cukup mencuit hati.
“Ada ketikanya dia sibuk belajar, bermain ‘games’ atau catur sampaikan hendak FaceTime sekejap pun ditolak… Ikut mood dia. Ada ketikanya, Umar beriya-iya mengajak berbual lama-lama,” katanya.
Seronok mendengar Mira berbicara soal anak saudara yang menginjak usia lima tahun itu, BH Online bertanya pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini mengenai perancangan masa depan bersama kekasih hati dikenali sebagai Wan Emir Astar.
“Secara jujur, apa yang Mira boleh komen hanyalah meminta semua orang mendoakan saja agar urusan berkaitan (perkahwinan) dipermudahkan.
“Lagipun, dengan kita diuji dugaan hebat ketika ini, kita tidak mampu menebak apa yang bakal terjadi.
“Lagipun, kerajaan sudah melarang majlis atau perhimpunan membabitkan orang ramai. Jadi, memang sukar hendak merancang semua itu,” katanya.
Sebelum ini, Mira dan Wan Emir Astar yang juga anak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datin Mastura Mohd Yazid, dilaporkan bakal disatukan sebagai suami isteri, Oktober depan.
Wan Emir yang juga seorang arkitek, difahamkan sudah menghantar rombongan untuk merisik Mira.
Mengenai agenda seni, Mira berkata, beberapa projek termasuk penggambaran drama Bidadari Kiriman Tuhan ditunda berikutan PKPB.
“Drama itu sepatutnya disiarkan bulan lalu. Namun, proses penggambaran tidak sempat dihabiskan. Jadi, tarikh siaran terpaksa dianjak.
“Saya harap dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19, semua urusan dipermudahkan,” katanya.
Tambah Mira, dia akur dengan apa yang terjadi kepada dunia yang diancam COVID-19.
“Saya faham apa yang cuba dilakukan kerajaan dan Kementerian Kesihatan dalam berdepan pandemik ini.
“Ketika ini, soal kesihatan dan nyawa diutamakan. Apa yang kita perlu kita buat adalah terus berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.
“Doa saya semoga kerja seni dapat dilaksanakan seperti biasa dan wabak ini akan reda.
“Semoga semua kita dapat meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button