Mat rempit rempuh polis

Sebahagian remaja merempit diarah menolak motosikal masing-masing ke IPD Kluang selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Lingkaran Tengah berhampiran. - Foto ihsan PDRM
Sebahagian remaja merempit diarah menolak motosikal masing-masing ke IPD Kluang selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Lingkaran Tengah berhampiran. – Foto ihsan PDRM

KLUANG: Seorang anggota polis cedera di lengan kiri, belakang dan kaki akibat dirempuh kira-kira 10 buah motosikal ketika melakukan sekatan jalan melalui Ops Samseng Jalanan di Jalan Lingkaran Tengah dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata kejadian berlaku ketika lima pegawai dan 25 anggota yang lain melakukan kepungan ke atas laluan di sekitar Stadium Kluang selepas menerima laporan kira-kira 90 orang remaja berusia 17 hingga 30 tahun menunggang motosikal secara berbahaya di sepanjang jalan berkenaan.

Katanya, ketika membuat beberapa sekatan di kawasan berkenaan, kehadiran pihak polis disedari oleh kumpulan remaja berkenaan menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad untuk melarikan diri daripada kawasan kepungan.

“Anggota berkenaan tidak sempat mengelak menyebabkan dilanggar oleh penunggang motosikal dan cedera.

“Bagaimanapun, semua 90 orang remaja berjaya ditahan polis dan diarahkan menolak motosikal mereka sejauh kira-kira empat kilometer ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Abduh, turut ditahan adalah enam buah kereta yang digunakan oleh sebahagian remaja berkenaan datang ke Jalan Lingkaran Tengah untuk menjadi penonton aksi rakan mereka.

“Semua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (KK) dan Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

“Operasi yang bermula jam 12 tengah malam tadi itu berakhir kira-kira jam 6 pagi tadi selepas semua penunggang serta pembonceng motosikal yang ditahan sampai ke IPD Kluang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Abduh mengingatkan ibu bapa supaya bertanggungjawab memantau pergerakan anak-anak agar tidak melakukan perkara tidak sihat di luar rumah.

“Apa yang dilakukan oleh kumpulan remaja ini bukan hanya menyusahkan diri mereka sendiri malah turut membabitkan keselamatan dan perasaan orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *