Kenyataan Media Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong – Berhenti berpolitik dan utamakan kesihatan penduduk negeri

Saya rasa amat kecewa apabila Sdr John Wong, seorang staf di pejabat Ahli Parlimen Kota Kinabalu YB Chan Foong Hin, seolah-olah tidak mahu menyelesaikan isu keadaan teruk di pusat kuarantin Kompleks Sukan Likas tetapi lebih minat mempertahankan YB Chan dengan menggunakan alasan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah adalah sebuah agensi di bawah kerajaan pusat.

Ia harus ditekankan bahawa wabak Covid-19 adalah pandemik global, maka semua usaha pencegahan dan pengawalan diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), manakala bagi Sabah dan Sarawak pula, ia dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri yang diketuai Ketua Menteri masing-masing. Ini bermaksud semua keputusan mengenai pencegahan wabak Covid-19 di Sabah akan dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Shafie Apdal. Ini bermaksud mana-mana inisiatif kerajaan pusat untuk negeri Sabah, seperti penubuhan pusat kuarantin cawangan sudah tentu akan dibuat atas cadangan dan nasihat MKN Negeri Sabah. Kerajaan pusat hanya menyediakan sumber yang diperlukan. Oleh itu, jika pusat kuarantin di Kompleks Sukan Likas didapati tidak sesuai, mengapa pula ia dicadangkan oleh MKN Negeri Sabah? Adakah MKN Negeri Sabah tidak membincangkan perkara ini dengan teliti?

Pada 20 April, Ketua Menteri Sabah juga mengakui di persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa pusat kuarantin cawangan di Kompleks Sukan Likas telah dicadangkan dan ditubuhkan oleh kerajaan negeri Sabah.



Walaupun kos pusat kuarantin cawangan ini akan dibiayai kerajaan pusat sepertimana yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri, iaitu kerajaan pusat akan memberi subsidi RM150 bagi setiap orang yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan. Oleh itu, adakah kerajaan pusat boleh disalahkan atas keadaan teruk pusat kuarantin jika:

  • Kerajaan negeri yang mencadangkan penubuhan pusat kuarantin cawangan
  • Kerajaan negeri yang membaik pulih, membuat penyediaan dan perancangan
  • Kerajaan negeri yang mengawal laluan keluar dan masuk di negeri Sabah

Antara tanggungjawab seorang Ahli Parlimen adalah untuk memimpin penduduk dan membantu memperbaiki situasi mereka. Selain daripada mengemaskini laman Facebook beliau dan menuding jari kepada kerajaan pusat, apakah yang dibuat untuk membantu rakyat?

Sekiranya kelemahan dikesan dalam proses menempatkan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang dibawa balik ke Sabah, kerajaan negeri bertanggungjawab untuk membantu. Ini pernah ditunjukkan Ketua Menteri Sabah apabila seramai 300 orang di pusat kuarantin Semporna dialihkan ke hotel-hotel tempatan. Kita bandingkan pula dengan pemimpin DAP, terutamanya Ahli Parlimen Kota Kinabalu YB Chan Foong Hin dan juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming. Mereka seolah-olah lebih rela berpolitik daripada membantu pelajar-pelajar IPT yang ditempatkan di pusat kuarantin Kompleks Sukan Likas. Adakah ini jenis pemimpin yang dimahukan rakyat?

Pada 18 Mei, YB Frankie juga mendedahkan bahawa kerajaan negeri Sabah telah membelanjakan RM2 juta untuk kerja-kerja menaik taraf dan penyelengaraan untuk menjadikan Kompleks Sukan Likas sebagai fasiliti Covid-19, sebelum ia ditetapkan sebagai pusat kuarantin cawangan pada 15 Mei. Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri terlibat dalam perancangan awal, persediaan dan penyelarasan (termasuk mengawal penerbangan yang keluar dan masuk, dan saringan kesihatan di lapangan terbang) sepanjang tempoh krisis Covid-19 ini.



(Facebook YB Frankie Poon: https://www.facebook.com/716361861876239/posts/1490029111176173/?d=n)

Sekiranya YB Frankie bercakap betul, maka adakah ia salah bagi saya untuk merujuk isu keadaan pusat kuarantin yang teruk kepada kerajaan negeri? Ini termasuk tandas dan singki yang dilaporkan tersumbat dan tidak bersih. Adakah ia salah untuk minta penjelasan kerajaan negeri terutamanya selepas YB Frankie mendedahkan sebanyak RM2 juta dibelanjakan untuk menjadikan pusat berkenaan sebagai fasiliti Covid-19? Apa pula penjelasan YB Frankie dan YB Chan terhadap aduan gangguan bekalan air yang kerap, termasuk tiada bekalan air selama 21 JAM bermula dari 21 Mei pukul 8 malam sehingga 22 Mei pukul 5 petang? Adakah ini juga salah kerajaan pusat? Adakah YB Wong perlu diingatkan betapa pentingnya air bersih untuk mencegah jangkitan Covid-19?

Apabila isu ini dibangkitkan untuk kali pertama dan YB Chan ditegur kerana mengutamakan pengagihan barang-barang bantuan kepada rumah mewah, alasan yang diberikan adalah DAP membantu mempromosikan produk tempatan untuk membantu perniagaan tempatan. Malah mereka juga memfitnah saya sebagai anti-produk tempatan negeri. Hakikatnya saya sebagai seorang penduduk Sabah mengalu-alukan mana-mana langkah untuk mempromosikan produk Sabah, tetapi bukankah ia lebih penting untuk memastikan kesihatan penduduk negeri dalam tempoh krisis ini?

Jika membantu perniagaan tempatan merupakan agenda utama YB Chan, mengapa pula peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Sukan Likas tidak digunakan untuk menjadikan hotel-hotel tempatan sebagai pusat kuarantin? Ini satu contoh bagaimana YB Chan boleh membantu bisnes tempatan. Saya telahpun mengambil inisiatif untuk bertemu dan membincang dengan pengusaha-pengusaha hotel tempatan mengeai perkara ini. Demi memastikan proses kuarantin yang berkesan, mereka perlu ditempatkan seorang diri dalam sebuah bilik dan tidak berkongsi tandas. Bilik ini juga harus dilengkapkan dengan kemudahan untuk memastikan mereka terhibur. Ini semua telahpun disediakan dalam bilik hotel. Tambahan lagi, hotel-hotel sekarang mencatat jumlah penghuni yang rendah ataupun langsung tidak digunakan. Langkah ini mampu membantu pengusaha hotel, di samping mengurangkan beban kerajaan, kerana penggunaan CCTV di hotel-hotel berkenaan dapat menguatkuasakan pematuhan arahan kuarantin. Para pelajar IPT tersebut juga dapat diasingkan mengikut tarikh mereka masuk negeri berdasarkan tingkat di dalam hotel.



Oleh itu, YB Chan Foong Hin dan YB Frankie Poon digesa berhenti membazirkan masa dan menuding jari. Utamakan kesihatan dan kebajikan penduduk. Sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat, mereka harus menggalas tanggungjawab masing-masing dengan sepenuhnya dan bukannya berpolitik pada masa krisis ini.

-MCA online-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button