Laluan tikus di ESSZone berpotensi jadi punca penularan COVID-19

TAWAU, 28 Mei — Laluan tikus di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang digunakan pendatang asing tanpa izin untuk menyusup masuk dan keluar dari Sabah berpotensi menjadi punca penularan COVID-19 di negeri ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali berkata ini kerana laluan tersebut terlalu banyak misalnya ada laluan dikesan dari Pulau Sebatik, Tawau ke Kalabakan dan sehingga di Long Pasia, Sipitang.

Hazani berkata terbaharu pihaknya mengesan enam orang dari Indonesia menyusup masuk ke Sabah menggunakan laluan tikus di Kalabakan.



“Tindakan mereka ini boleh menyebabkan penularan jangkitan COVID-19  dan ekoran itu kita memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan (Kawasan Tawau) agar kesemua mereka yang dikesan ini menjalani ujian COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, difahamkan seorang daripada warga asing tersebut berjaya melarikan diri dan pihak keselamatan masih giat mengesan sehingga ke hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan keselamatan juga telah mengusir serta-merta lebih 20 pendatang haram yang cuba memasuki Sabah melalui Kalabakan dalam dua kes pada awal bulan ini.

Sebelum itu katanya, seramai 10 pendatang asing tanpa izin yang dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau disahkan negatif  COVID-19 dan kesemua mereka telah dirujuk ke Jabatan Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker