MAHATHIR, MUKHRIZ TERHENTI KEAHLIAN BERSATU, APA NASIB 3 ORANG LAGI?
Bersatu Bakal Bubar Jika Penyokong Mahathir Dan Mukhriz Meninggalkan Parti?
Dua pucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjelaskan keahlian Tun Mahathir dan Dato Mukhriz Mahathir terhenti. Menurut Kapten Muhamad Suhaimi Yahya (B), Setiausaha Kerja BERSATU Malaysia tindakan tersebut diambil bersesuaian dengan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan PPBM.
Bagaimanapun nasib 3 Ahli Parlimen PPBM, Syed Saddiq, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah masih belum diketahui samada kekal atau menerima nasib sama seperti Mukhriz. Dijangkakan rombakan besar-besaran akan dilakukan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengembalikan keyakinan ahli BERSATU kepada parti.
Tindakan menghentikan keahlian antara tonggak BERSATU boleh diandaikan sebagai langkah awal menyekat kemaraan Tun M dalam mengumpulkan sokongan bagi merampas kembali Putrajaya. Heboh hari ini dalam pelbagai media termasuk media sosial, Tun M telah beroleh sokongan yang cukup untuk membawa PH kembali memegang tampuk pemerintahan negara. Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, ada perkara besar akan berlaku namun tidak diketahui apa maksud laporan tersebut.
Bagaimanapun sehingga jam 7.30 malam, masih belum ada sebarang petunjuk kerajaan sekarang akan tumbang. Malah angka angka yang bermain di media sosial juga dipersoalkan kesahihan. Menurut sumber 2 hari sebelum Aidilfitri, ada panggilan telah dibuat oleh Tun kepada satu pihak bagi meminta sokongan 18 Ahli Parlimen namun permintaan tersebut telah ditolak.
Mungkin esok akan diadakan sidang akhbar bagi menjelaskan tindakan menghentikan keahlian Tun M dan Mukhriz dari BERSATU. Setakat ini Muhyiddin masih belum mampu ditumbangkan dari jawatannya selaku Presiden BERSATU.