Khairulnizam perlu masa kembangkan potensi – Jurulatih

KUALA LUMPUR, 30 Mei  — Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Affendy perlu diberikan lebih masa untuk mengembangkan potensi bagi membolehkan beliau berada di kedudukan terbaik dunia, bukannya dilemparkan dengan andaian stereotaip ‘atlet berusia perlu bersara’.

Bapa Khairulnizam, Mohd Affendy Abdullah, yang juga jurulatihnya, beranggapan pemikiran stereotaip seumpama itu dalam kalangan peminat sukan tanah air boleh ‘mematikan’ karier seseorang atlet dan ia perlu dihapuskan.

Beliau berkata budaya sukan di Malaysia dan luar negara sangat berbeza kerana di luar negara kebanyakan atlet pelayaran berusia 30 tahun ke atas masih aktif bersaing di gelanggang dan bukannya disuruh untuk menamatkan karier mereka.

“Kalau kita lihat atlet luar negara, malah ada pemenang pingat emas seperti di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 yang berumur 50-an berbanding Khairulnizam baru berusia 27 tahun. Pengalaman membuatkan beliau berjaya. Khairulnizam masih terlalu muda dalam sukan pelayaran.



“Beliau perlu masa yang panjang untuk kutip pengalaman berharga jika mahu berjaya seperti atlet pelayaran luar negara dan menakluki dunia. Pengalaman akan membuatkan beliau lebih matang dalam mengendalikan kapal layar nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Affendy berkata atlet memerlukan masa bagi memperoleh pengalaman luas dalam sukan pelayaran untuk memahirkan diri tentang ilmu kelautan, cuaca, ombak, arus serta teknik pelayaran.

Jelasnya, Khairulnizam sekurang-kurangnya memerlukan masa lapan hingga 12 tahun lagi untuk mengembangkan potensinya dalam sukan pelayaran supaya setanding dengan atlet dunia lain.

Khairulnizam yang akan membuat penampilan ketiga pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, kini berada di ranking ke-45 dunia.



“Saya lihat Khairulnizam ada potensi untuk pergi lebih jauh kerana beliau baru berusia 27 tahun tapi sudah berada dalam kedudukan 50 atlet terbaik dunia. Ranking beliau tidak pernah turun, sentiasa ada peningkatan,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button