Melissa diazankan P Ramlee ketika lahir

KUALA LUMPUR: Biarpun tidak sempat mengenali Allahyarham Tan Sri P Ramlee secara peribadi, aktres, Melissa Saila sentiasa mendengar pelbagai kisah mengenai Seniman Agung itu melalui arwah ibu dan ibu saudaranya.

Sempena mengenang 47 tahun pemergian tokoh seniman yang terkenal di Nusantara pada 29 Mei (semalam), anak kepada Seniwati Mariani Ismail itu berkongsi kenangan sewaktu kecil bersama bapa saudaranya itu.

Melissa berkata, dia bersyukur memiliki pertalian darah dengan seorang bintang lagenda, walaupun hanya menumpang ibu saudara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

“Saya tidak sempat mengenai Allahyarham secara dekat. Beliau menghembuskan nafas terakhir selepas setahun saya dilahirkan. Namun, arwah ibu dan ibu saudara sering bercerita mengenali lelaki hebat yang ketika hayatnya disanjung, dibangga, dipuji, dibenci, dicemburui dan dihina.

“Arwah ibu memberitahu, saya diazankan Allahyarham ketika dilahirkan, malah beliau juga mengendong saya pada majlis perkahwinan seorang kakak.

“Allahyarham, seorang yang suka memasak. Seperti dalam filem, begitu juga sifatnya apabila memasak. Beliau, insan kreatif dan suka mencuba resipi baharu. Apabila siap masak, beliau akan minta arwah ibu merasai masakannya,” katanya kepada BH Online.

Selain kreatif, Melissa mendedahkan, arwah bapa saudaranya itu seorang pemurah. Meskipun kehidupannya sendiri susah dan tidak mewah, beliau akan cuba membantu rakannya yang kesempitan hidup.

“Beliau tidak memiliki duit yang banyak, tetapi akan berusaha membantu jika rakan datang ke rumah meminta bantuan.

“Bagaimanapun, apa yang menyedihkan, ada yang mendakwa Allahyarham hidup merempat pada penghujung usianya. Saya tidak faham bagaimana boleh timbul dakwaan ini, sedangkan saya tidak pernah dengar cerita beliau dihalau rumah atau meminjam duit rakannya.

“Dakwaan mengatakan Allahyarham hidup susah hingga hanya makan telur tidak benar. Setahu saya, Allahyarham suka makan telur, tetapi sejarah dan kisah ini juga mempunyai pelbagai versi. Saya tak pasti mana yang betul kerana saya tidak hidup pada zamannya,” kata pelakon filem Penghujung Malam dan Layar Lara itu.

Bagaimanapun, kata Melissa, apa yang diketahui, Allahyarham tidak dihargai dan dieksploitasi pada penghujung hidupnya. Namun, itu adalah lumrah hidup seorang insan yang bergelar seniman.

Sempena memperingati pemergian P Ramlee, Enfiniti Group menayangkan kembali teater muzikal P Ramlee musim pertama menerusi saluran EnfivitiV yang boleh dilanggan menerusi saluran Vimeo.

Dengan bayaran RM25, pelanggan dapat menyaksikan persembahan muzikal lakonan Melissa, Sean Ghazi, Liza Hanim, Atilia Haron, Douglas Lim, Colin Kirton dan penampilan istimewa, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membawakan watak Azizah dalam tempoh 48 jam.

Persembahan muzikal yang meraih enam trofi menerusi Boh Cameronian Arts Awards 2007 akan ditayangkan sehingga 30 Jun depan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker