COVID-19: Kedai bebas cukai di Korea Selatan hentikan sementara operasi

SEOUL, 30 Mei — Kebanyakan pengusaha kedai barangan bebas cukai di Korea Selatan memutuskan untuk menutup sementara beberapa cawangan mulai bulan depan, berikutan penurunan drastik jumlah pengunjung akibat penularan wabak COVID-19.

Lotte Duty Free berkata kedainya di pulau Jeju akan dihentikan operasinya mulai Isnin, lapor agensi berita Yonhap.

Sejak Februari, syarikat itu telah mengurangkan waktu operasi cawangannya di Jeju berikutan kemerosotan perniagaan.

Hotel Shilla, juga merancang menutup kedai bebas cukainya di pulau itu selama sebulan bermula Isnin.



Sebelum ini, operasi kedai Hotel Shilla ditutup pada hujung minggu dan hari cuti, kerana jumlah penerbangan antarabangsa ke pulau itu yang menurun mendadak akibat sekatan perjalanan.

Perniagaan kedai bebas cukai di Jeju mengalami kemerosotan terutamanya disebabkan penurunan permintaan pelancong asing, kebanyakannya dari China sejak sebelum wabak COVID-19 melanda Korea Selatan pada akhir Januari.

Jumlah pelancong asing ke pulau Jeju menurun sebanyak 99.2 peratus pada April, menurut data industri.

Sementara itu, Shinsegae Duty Free berkata pihaknya akan menutup cawangannya di Gangnam setiap Ahad dan Isnin.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker