Gadis Iban rindu suasana sambutan Gawai di rumah panjang

KUCHING, 1 Jun — Selama enam tahun berkelana di sini bagi mencari rezeki, Raydilla Kong Kumbau, gadis Iban dari Kapit ini tidak pernah terlepas peluang menyambut Gawai di kampung halaman, namun kali ini pandemik COVID-19 memaksanya menyambut perayaan selepas menuai itu secara sederhana di sini.

Jelas rindu dengan kemeriahan sambutan di kampung halaman, Raydilla , 25, berkata dia hanya ditemani keluarga terdekat berbanding sambutan pada tahun-tahun sudah yang diraikan bersama sanak-saudara yang pulang berkumpul di rumah panjang Nanga Melinau Rumah Anding di Kapit.

“Banyak yang dirindui, antaranya berebut-berebut di kaunter tiket bot ekspres untuk pulang ke kampung, suasana cukup sesak namun meriah,” kata pembantu akaun itu kepada Bernama.



Menurutnya perjalanan dengan bot ekspres dari jeti Sibu ke Kapit mengambil masa kira-kira tiga jam dan selepas itu dia perlu mengharungi perjalanan lebih dua jam menaiki kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan balak untuk tiba di kampung.

“Jika naik perahu, akan ambil masa sehingga enam jam,” katanya yang turut akur dengan sambutan dalam suasana normal baharu ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat susulan penularan COVID-19.

Mengenai juadah istimewa pula, gadis itu berkata dia rindukan daging rusa goreng yang dimasak menggunakan resipi keluarga turun-temurun dan hanya disediakan pada hari pertama sambutan.

Katanya dia juga merindui upacara kerohanian seperti ‘miring’ iaitu menghidangkan juadah kepada roh nenek moyang.



Sementara itu, Christine Lyana Raymond Moseg, 30, gadis Bidayuh dari Kampung Semeba di sini, berkata walaupun dapat meraikan sambutan dengan keluarga, dia rindukan acara ‘ngabang’ (ziarah-menziarahi).

“Sedih sebab tidak dapat berkunjung ke rumah saudara mara, namun kami semua patuh dengan arahan kerajaan dan sama-sama berkorban untuk memerangi wabak itu,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button