Juruteknik dakwa bayar RM22,750 untuk iPhone11

Hebahkan !!!

KUANTAN, 1 Jun — Hasrat memiliki iPhone 11 membawa padah kepada seorang juruteknik apabila mendakwa kerugian RM22,750 yang dibayar kepada penjual telefon pintar tidak wujud di laman sosial, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 22 tahun mendakwa berminat membeli telefon pintar itu yang diiklankan pada harga RM1,350 di laman Instagram pada Khamis lalu.

“Mangsa mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia menerusi pesanan WhatsApp dan diminta menjelaskan bayaran sebelum telefon pintar itu dihantar menggunakan syarikat penghantaran.

“Mangsa mendakwa telah melakukan enam transaksi pemindahan wang secara online (dalam talian) daripada akaun bank milik dua kakaknya ke akaun yang diberikan suspek tanpa menyedari dirinya sudah membuat bayaran dalam jumlah yang besar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mula berasa sangsi apabila suspek masih meminta wang walaupun jumlah yang dibayar sudah melebihi harga ditawarkan di iklan, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: