Pasukan Liga-M masih dilarang lakukan aktiviti bola sepak – MFL

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kekal dengan keputusan tidak membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mengadakan sebarang aktiviti bola sepak termasuk mengadakan sesi latihan sehingga mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu selaras dengan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Beliau berkata MFL selaku badan pentadbir Liga-M, berharap pasukan akan terus mematuhi arahan itu sehingga kerajaan memaklumkan mengenai perkembangan terbaru PKPB, dan pada masa ini bola sepak tidak termasuk dalam senarai sukan yang diluluskan penganjurannya.

“Sehubungan itu, sebarang aktiviti seperti latihan pasukan, perlawanan persahabatan dan pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan seperti yang dikuatkuasakan oleh MKN sebelum ini.

“Jika ada pasukan yang mengadakan sebarang aktiviti bola sepak tanpa kebenaran MKN, ia jelas melanggar peraturan di bawah Akta 342,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MFL akan mengenakan tindakan keras ke atas mana-mana pasukan Liga-M jika mereka didapati bersalah melanggar arahan seperti mengadakan sesi latihan dalam tempoh PKPB.

Ab Ghani menegaskan MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberi kebenaran kepada pemegang taruh Liga-M untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini.

“Selaras dengan surat pekeliling diedarkan kepada semua pemegang taruh Liga Malaysia, pasukan tidak dibenarkan mengadakan sebarang sesi latihan termasuk sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gimnasium atau sebagainya memandangkan ia arahan daripada MKN, KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Diharap kesemua pasukan dapat bersabar terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan kerana kita haruslah memenuhi tuntutan daripada pihak berkuasa dalam usaha memastikan semua pasukan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti diarahkan oleh KKM,” katanya.

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 18 Mac lalu selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Baru-baru ini, sebuah portal berita sukan melaporkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedang mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri untuk kembali memulakan sesi latihan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang selaras dengan garis panduan KKM bermula 9 Jun ini.

SOP itu termasuklah menjalani ujian saringan sebelum memulakan latihan, mengamalkan jarak sosial dan sesi latihan akan membabitkan lima atau enam pemain sahaja.

Dalam kenyataan sama, Ab Ghani berkata MFL akan menyediakan permohonan semula perancangan baharu kalendar Liga-M 2020 berserta dengan SOP latihan pasukan dan perlawanan kepada MKN menerusi KBS selepas PKPB berakhir.

Sebelum ini, MFL mengumumkan perancangan untuk meneruskan pertandingan Liga Super serta Liga Premier pada 1 dan 2 Sept dan akan berakhir pada 26 dan 27 Sept dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 dan 18 Okt sehingga 7 Nov, sementara Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

“Jika perancangan itu mendapat kelulusan kerajaan, maka semua pasukan dijangka memulakan sesi latihan pada Ogos mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan FAM dan MFL berdasarkan garis panduan MKN, KKM, KBS, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker