Rusuhan di AS, Trump ancam guna tentera pulihkan ketenteraman

WASHINGTON, 2 Jun  — Presiden Donald Trump pada Isnin mengancam untuk mengerahkan anggota tentera bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang membantah kematian George Floyd, lelaki kulit hitam yang maut ketika dalam tahanan polis pada minggu lalu di Minneapolis, lapor agensi berita Xinhua.

“Jika pentadbiran bandar atau negeri enggan ambil tindakan yang perlu untuk mempertahankan nyawa dan harta benda, jadi saya akan mengerahkan tentera negara untuk menyelesaikan masalah mereka,” kata Trump di Rumah Putih, ucapan pertamanya sejak kematian Floyd.

Trump berkata beliau mungkin akan menggunakan Akta Pemberontakan 1807 yang jarang digunakan, memberi kuasa kepada presiden untuk mengerahkan pasukan tentera secara sepihak.

Berikutan itu, Trump menegaskan beliau akan menghantar “ribuan tentera dan pegawai penguatkuasa” untuk memulihkan ketenteraman.

Helikopter kelihatan berlegar di ruang udara di Lafayette Park ketika Presiden AS itu berucap, polis bertindak menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun berdekatan Rumah Putih.

Pada Isnin Trump dilaporkan berkata gabernor negeri “lemah” kerana gagal mengawal keadaan dan mengekang rusuhan daripada terus merebak.

Floyd, 46, ditahan pada 25 Mei, didakwa cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota.

Insiden itu menimbulkan kemarahan rakyat apabila rakaman video yang tular di Facebook, menunjukkan pegawai polis Derek Chauvin menggunakan kekasaran ketika menahan Floyd.

Chauvin menekan lututnya di leher Floyd selama hampir sembilan minit sehingga mangsa sukar bernafas dan rayuannya langsung tidak diendahkan anggota polis itu.

Lelaki kulit hitam itu kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker