Warga Belarus didakwa halang tugas penjawat awam, rentas negeri

PORT DICKSON, 2 Jun — Seorang lelaki warga Belarus hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan merentas negeri tanpa kebenaran, Ahad lepas.

Danilov Illia, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majisret Siti Huzaifah Abdul Talib.

Tertuduh sebelum ini telah dikompaun selepas didapati cuba merentas negeri dengan berjalan kaki dari Sepang, Selangor menuju ke Port Dickson sebelum ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas dalam satu sekatan jalan raya.

Dia dituduh mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda tidak melebihi RM100.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh. Mahkamah menetapkan 12 Jun untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker