Atlet, pegawai di Akademi Badminton Malaysia negatif COVID-19 – KP MSN

KUALA LUMPUR, 2 Jun — Kesemua individu yang terlibat dengan kem latihan pusat di bawah program ‘Road to Tokyo’ (RTT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disahkan negatif COVID-19.

Keputusan ujian swab itu disahkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi kenyataan hari ini.

Seramai 38 orang melibatkan atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan telah menyertai kem latihan di ABM, Bukit Kiara sejak semalam.

Sementara itu, keputusan ujian melibatkan 24 orang juga terdiri daripada atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan untuk kem latihan di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi, dijangka akan diketahui esok.

Kesemua peserta kem latihan pusat di ABM dan Langkawi, telah menjalani ujian saringan ketika pendaftaran di kem masing-masing, iaitu atlet elit bakal menjalani latihan khas dengan pengasingan selama sebulan untuk persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Seramai 146 individu, termasuk 14 atlet dan 26 atlet para, dijangka memulakan latihan di MSN Bukit Jalil Isnin depan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker