PH pegang teguh prinsip Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dalam depani situasi politik semasa

JOHOR BAHRU, 3 Jun  — Pakatan Harapan (PH) Johor akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dalam mendepani apa jua isu serta situasi politik semasa.

PH menyatakan pendirian itu beberapa jam selepas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor serta merta. sekiranya didapati berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

“PH Johor mengambil maklum dan menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar – Sultan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor – sepertimana yang disiarkan menerusi Facebook baginda.

“Bagaimanapun, PH Johor juga menyatakan komitmen terhadap amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, yang menjadi tulang belakang kepada negeri serta negara kita,” kata pakatan itu dalam satu kenyataan bersama, di sini, hari ini.



Kenyataan bersama itu adalah daripada Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan; Pengerusi Keadilan Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Tengah hari tadi, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa baginda, kerana masih berlaku kemelut politik di negeri ini yang menyaksikan terdapat pemimpin-pemimpin gila kuasa dan terus mahu merebut jawatan, demi kepentingan diri mereka.

Justeru, sebagai mengelakkan Johor daripada menjadi kucar-kacir, dan untuk menjaga dan membela nasib rakyat, baginda akan mempertimbangkan untuk membubarkan DUN, jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Ini merupakan kali kedua Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada wakil rakyat Johor, berhubung kemelut politik negeri itu.



Kali pertama pada 14 Mei lepas, apabila baginda mengingatkan ahli DUN bahawa sekarang bukan masanya untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi, kerana tindakan sebegitu akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya, iaitu virus perpecahan pada perasmian DUN pertengahan bulan lepas.

Sejak kebelakangan ini timbul desas-desus yang tampuk pemerintahan negeri Johor kemungkinan menyaksikan perubahan sekali lagi jika beberapa anggota DUN Perikatan Nasional menarik balik sokongan mereka.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button