Lelaki solat Jumaat ketika PKPB didenda RM700

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Seorang pengarah syarikat barang kemas yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang berkuatkuasa didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap warga India, Syed Aliyar Jahir Hussain, 60, selepas dia mengaku bersalah berhimpun tanpa kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat, di dalam kawasan yang diwartakan dalam Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 14 hari sekiranya denda tersebut gagal dibayar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan Masjid Negara, Jalan Perdana, Tasik Perdana, di sini antara 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari. 29 Mei lepas mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis telah membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Masjid Negara yang masih dalam zon merah sempena larangan solat jumaat PKPB.

Semasa pemantauan dibuat, pihaknya mendapati seramai tujuh lelaki sedang  bersolat Jumaat di kawasan air pancut masjid itu sekaligus ingkar arahan PKPB sebelum mereka dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam.

Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: