Sarah ditipu, dipukau serah duit

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Pujaan Hati Kanda, Sarah Hildebrand menanggung kerugian ribuan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian didalangi beberapa individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan pegawai polis pada Selasa lalu.

Sarah masih trauma dengan insiden berkenaan bertindak memuat naik pendedahan menerusi laman Instagram (IG) bagi mengingatkan pengikutnya berhati-hati dan tidak menerima nasib sepertinya.

Berkongsi insiden yang berlaku, pelakon dan pengacara berusia 30 tahun itu berkata, dia seperti dipukau oleh scammer apabila mengikut sahaja kehendaknya.

“Saya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai LHDN pada pagi itu. Dia memaklumkan saya mempunyai cukai pendapatan tertunggak. Scammer bertanya adakah ada individu lain di sisi dan minta saya tidak menjawab panggilan di hadapan orang lain.

“Apa yang pelik, saya mengikuti kehendaknya. Ia termasuklah apabila scammer meminta saya ke bank dan memindahkan sejumlah wang. Saya akur dengan permintaan dan terus memandu ke bank. Saya takut apabila scammer mula meninggikan suara dan menyambungkan panggilan kepada beberapa individu lain yang didakwa pegawai polis.

“Selain mempunyai tunggakan cukai pendapatan, scammer mendakwa saya terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram. Ia menjadikan saya lebih takut dan mengikut sahaja kehendak mereka. Saya mula tersedar ditipu selepas meletakkan telefon,” katanya kepada BH Online.

Sarah berkata, selepas tersedar, dia hanya mampu menangis teresak-esak kerana tidak menyangka menjadi mangsa penipuan biarpun banyak kali terdengar sindiket penipuan scammer.

Katanya, dia tidak sudah menyalahkan diri dan anggap bodoh kerana boleh terjerumus dengan penipuan sedemikian.

“Balik ke rumah, saya tidak terus mengadu kepada suami dan ibu. Saya hanya menangis, rasa bodoh sangat. Saya menyalahkan diri bagaimana saya boleh melayan orang yang tidak dikenali hingga sanggup memindahkan sejumlah wang kepada mereka.

“Sebaik saya beritahu suami apa yang berlaku, dia sangat terkejut, tetapi tidak marah. Suami terus memeluk dan memujuk saya. Suami dan ibu minta saya tidak menyalahkan diri kerana tiada siapa boleh menjangka perkara buruk boleh berlaku.

“Apabila berkongsi kejadian dialami kepada pengikut IG, ramai terkena sindiket penipuan sama. Seperti saya alami, mereka juga dipukau dan akur dengan permintaan scammer berkenaan.

“Nasihat saya, jika ingin menjawab panggilan telefon, pastikan ada seseorang di sisi supaya boleh mendengar perbualan dan dapat menghalang terus melayan scammer berkenaan,” kata Sarah.

Atas saranan polis, kata Sarah, dia kini sudah memuat naik aplikasi True Caller dan Semak Penipu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dapat menepis panggilan telefon yang diterima.

Sekalipun terkilan mengalami kerugian ribuan ringgit, malah polis memaklumkan peluang mendapat kembali wangnya adalah tipis, Sarah berharap, kegiatan sindiket penipuan segera dibanteras supaya tidak ramai yang terkena.

Leave a Reply

%d bloggers like this: