Enam sekeluarga sesat lima jam di Bukit Penunjuk ditemukan selamat
CHUKAI, 15 Jun — Enam sekeluarga yang sesat selama lima jam selepas melawat kebun mereka di Bukit Penunjuk, Kijal, dekat sini, ditemukan selamat petang tadi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata Mohd Norazmi Taib, 48, isterinya, Maizatul Akmal Embong, 46, serta empat anak mereka, Mohd Amir Shakir, 19, Eisya Nurhumaira, 16, Khadeja Nurhani, 14, dan Mohd Umar Syamil, 10, berjaya dibawa turun ke kaki bukit itu pada kira-kira pukul 6.30 petang.
“Difahamkan keluarga itu tinggal di Pahang, dan datang melawat kebun pada pukul 9.00 pagi tadi. Kira-kira pukul 11 pagi mereka ingin balik ke ‘homestay’ namun gagal menemui jalan keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata ekoran penat dan risau dengan keadaan yang dihadapi, Mohd Norazmi kemudiannya bertindak menghubungi talian kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Kijal kira-kira pukul 3.00 petang untuk mendapatkan bantuan.
Katanya satu jentera dengan lapan anggota termasuk pegawai telah diarah ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira pukul 5.00 petang.
“Kawasan di tempat mereka tersesat itu mempunyai rangkaian telefon, dan kita minta mereka hantar lokasi mereka menggunakan aplikasi WhatsApp selain meminta mereka memberi isyarat asap bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan kedudukan sebenar,” katanya.
— BERNAMA